Warga emas tipu wang RM2,700 kena denda

Raja Shahyan (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang pada Selasa, bagi menghadapi pertuduhan menipu seorang lelaki supaya menyerahkan RM2,700, tahun lalu.
Raja Shahyan (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang pada Selasa, bagi menghadapi pertuduhan menipu seorang lelaki supaya menyerahkan RM2,700, tahun lalu.
A
A
A

AMPANG – Seorang bekas juruteknik syarikat penerbangan tempatan didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini pada Selasa atas pertuduhan menipu seorang lelaki supaya menyerahkan RM2,700, kononnya bagasi milik tertuduh ditahan di sebuah lapangan terbang, tahun lalu.

Raja Shahyan Raja Abdullah, 82, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Amalina Basirah Md Top.

Mahkamah memerintahkan warga emas itu dipenjara selama sebulan, sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu seorang lelaki berusia 59 tahun bahawa bagasi tertuduh ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga mendorong mangsa untuk menyerahkan wang itu sedangkan mangsa tidak akan berbuat demikian jika tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel, di sini antara jam 1.40 petang pada 19 Julai 2023 dan 3.39 petang, 24 Julai tahun sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Izleen Ismail yang mewakili tertuduh merayu supaya anak guamnya dikenakan denda yang minimum dengan mengambil kira usia tertuduh.

“Dia juga seorang duda serta menghidap penyakit prostat dan batu karang selain mempunyai sembilan anak, yang mana tiga daripadanya telah meninggal dunia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal.

Menurutnya, umur bukan satu faktor yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah sebelum menjatuhi hukuman.

“Kalau sudah berusia, tertuduh patut lebih tahu dan faham bahawa memperdayakan orang merupakan satu kesalahan dan boleh dihukum mengikut undang-undang,” katanya.