Tiga lelaki didenda tipu cukai kereta import

Tertuduh didakwa di Mahkamah Seksyen Alor Setar, di sini pada Selasa.
Tertuduh didakwa di Mahkamah Seksyen Alor Setar, di sini pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Tiga lelaki didenda RM10,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa atas kesalahan menggunakan dokumen palsu bagi melakukan penipuan dalam percukaian kereta mewah di Langkawi hingga mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman denda itu terhadap tertuduh, Yeoh Ee Tat, 56; Mohd Haiqal Mohd Sebrie, 33 dan Teh Wei Li, 52, selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang disabitkan ke atas mereka.

Mengikut kertas pertuduhan, Ee Tat dari Kuah, Langkawi didakwa atas pertuduhan menggunakan surat akaun palsu bertarikh 26 Ogos 2018 di Pejabat Kastam Daerah Langkawi, Dermaga Tanjung Lembung di Langkawi pada 30 Ogos 2018.

Tertuduh yang juga pemilik syarikat kenderaan import turut didakwa menggunakan Borang Kastam Perisytiharan Barang-barang Yang Diimport palsu di lokasi sama pada 1 Disember 2021.

Sementara itu, Mohd Haiqal yang bekerja sebagai 'runner' syarikat kenderaan import didakwa atas pertuduhan menggunakan Borang Kastam Perisytiharan Barang-barang Yang Diimport palsu di Pejabat Kastam Daerah Langkawi, Dermaga Tanjung Lembung di Langkawi pada 30 Ogos 2014 dan antara 11 hingga 12 September 2021.

Wei Li yang juga bekerja sebagai 'runner' syarikat kenderaan import pula didakwa dengan curangnya menggunakan Borang Kastam Perisytiharan Barang-barang Yang Diimport palsu di lokasi sama pada 21 hingga 22 Mac 2021.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Mohd ‘Afif Ali,manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Mohd Hakim Hamran.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan kesemua tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM10,000 setiap seorang dan penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Kesemua tertuduh kemudiannya membayar denda terbabit.

Pada Sabtu lepas, media melaporkan enam ahli sindiket mengurangkan duti kereta mewah yang mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga lebih RM33 juta akan didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah pada 15 dan 16 Januari.

Sebelum ini, kesemua suspek yang merupakan pengusaha dan runner perkhidmatan gudang sita penyimpanan kereta mewah di Pulau Langkawi ditahan dalam satu operasi khas dijalankan SPRM pada Julai 2023.

Tiga dari enam lelaki telah mengaku bersalah di Mahkamah Alor Setar, di sini pada Isnin atas dakwaan menggunakan dokumen palsu mengurangkan duti kereta mewah dan mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan membabitkan jutaan ringgit di Langkawi.