'Harga di Pantai Chenang memang tinggi, kenapa ditularkan' - Peniaga

Gambar yang dimuat naik oleh pelanggan wanita yang tidak berpuas hati dengan harga sepinggan ayam goreng kunyit berharga RM20 di Pantai Chenang pada Sabtu.
Gambar yang dimuat naik oleh pelanggan wanita yang tidak berpuas hati dengan harga sepinggan ayam goreng kunyit berharga RM20 di Pantai Chenang pada Sabtu.
A
A
A

LANGKAWI - Pemilik restoran di Pantai Chenang yang didakwa mengenakan caj RM20 untuk sepinggan ayam goreng kunyit terhadap seorang pelanggan wanita pada Sabtu menegaskan sepatutnya wanita itu membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekiranya tidak berpuas hati berbanding menularkannya di media sosial.

Zulfan Bustami, 43 berkata, pelanggan berkenaan juga berpeluang untuk mempersoalkan harga terbabit kepada pekerjanya ketika masih di restoran namun tidak berbuat demikian.

"Saya tidak tahu apa tujuannya, kerana ketika buat pesanan pun pekerja sudah beri buku menu yang ada harga untuk semua jenis makanan termasuk ayam goreng kunyit terbabit yang tertera harga RM20.

"Semasa bayar pun dia tidak komen apa, tetapi bila pulang, ditularkan pula resit dan gambar makanan itu, apa motifnya?," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Menurutnya, pelanggan terbabit adalah orang tempatan dan sepatutnya dia sedia maklum harga makanan di sekitar Pantai Chenang lebih tinggi.

"Di kawasan Pantai Chenang segala kos termasuk sewa kedai memang tinggi, kalau dia makan di kawasan kampung mungkin dia boleh persoalkan isu harga ini.

"Lagipun hidangan ayam goreng kunyit yang saya sediakan itu sesuai dimakan dua orang kerana menggunakan 160 gram isi ayam, sayur, lobak, salad, kacang panjang dan bawang Holland," katanya.

Zulfan yang mengusahakan kedai terbabit sejak 2021 berkata, dia juga sering memberi diskaun antara 30-40 peratus kepada pekerja tempatan di sekitar Pantai Chenang.

Artikel Berkaitan:

"Saya bukan cari keuntungan semata-mata, kalau pekerja tempatan mai makan di restoran saya, saya akan beri diskaun sebab tahu mereka bukan pelancong.

"Jadi pelanggan itu pun kalau dia menegur dengan baik saya boleh pertimbangkan untuk beri diskaun kepada dia," katanya.

Ujarnya, dia telah berusaha menghubungi pelanggan berkenaan menerusi messenger di Facebook untuk berbincang tetapi pelanggan terbabit mengelak.

"Kedai saya juga sudah dikunjungi penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk melakukan pemeriksaan dan menyerahkan notis kira-kira 12 tengah hari kelmarin (Isnin)," katanya.

Sebelum ini, seorang pelanggan yang mengunjungi sebuah kedai makanan di Pantai Chenang melahirkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan caj RM20 untuk hidangan sepinggan ayam goreng kunyit.

Pengadu yang dikenali sebagai Hada Jais memuat naik resit berkenaan di laman sosial miliknya kerana menyifatkan harga tersebut terlalu mahal.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth pada Isnin berkata, tindakan telah diambil terhadap pemilik kedai makan tersebut selepas anggota penguatkuasaan KPDN menjalankan pemeriksaan.

“Satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada pemilik kedai makan bagi mendapatkan maklumat penyediaan kesemua menu yang dipesan pengadu.

Menurutnya lagi, siasatan mendapati buku menu di kedai berkenaan memaparkan harga bagi sepinggan ayam goreng kunyit adalah RM20.

“Pelanggan dinasihati supaya menyemak harga terlebih dahulu sebelum membuat pesanan," katanya.