Status representasi Rosmah gugur 17 pertuduhan 1 Mac ini

Rosmah -Foto Bernama
Rosmah -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, menetapkan 1 Mac depan untuk status representasi yang dikemukakan Datin Seri Rosmah Mansor bagi menggugurkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan RM7.09 juta dan lima kesalahan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim, K Muniandy menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan, Jabatan Peguam Negara (AGC) memerlukan lebih masa untuk meneliti representasi yang dihantar Rosmah selaku pemohon, pada 12 Disember tahun lalu.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, terdapat tindakan lanjut yang perlu diambil berhubung perkara itu.

“Kita perlu mengambil kenyataan daripada beberapa individu atau saksi lain bagi melengkapkan siasatan supaya AGC boleh membuat keputusan muktamad.

“Setakat ini, ia masih di peringkat penelitian,” katanya ketika prosiding hujahan permohonan Rosmah, 73, untuk membatalkan pertuduhan AMLA dan berkaitan LHDN.

Sementara itu, peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili isteri Datuk Seri Najib Tun Razak, memohon prosiding hujahan itu ditangguhkan ke tarikh lain.

“Anak guamnya tidak sihat dan beliau telah mengemukakan sijil cuti sakit malah ia telah diserahkan kepada pihak mahkamah,” katanya.

Ahmad Akram kemudiannya tidak membantah permohonan itu.

Artikel Berkaitan:

Ini merupakan representasi ketiga dihantar oleh selepas representasi pertama dan kedua yang dikemukakan masing-masing pada 3 Mei dan 18 Ogos lepas masih belum diputuskan oleh AGC.

Rosmah memfailkan notis usul itu pada 4 Oktober 2020, memohon agar dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua 17 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Tertuduh ini berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, dia didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Isteri bekas Perdana Menteri ini didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Selain perbicaraan itu, Rosmah masih menghadapi prosiding rayuan terhadap keputusan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Prosiding diteruskan dengan pasukan pendakwaan menyampaikan ucapan pembukaan terhadap kes ini sebelum saksi pendakwaan pertama, Penolong Pengurus Perkhidmatan ATM dan Sokongan, Affin Bank Berhad, Nor Ashikin Abdullah dipanggil memberi keterangan.