'Tembak-menembak macam dalam filem'

Lokasi dipercayai kejadian tembak-menembak antara polis dan sekumpulan penjenayah di Persiaran Prima Utama 3, Puchong Permai, Puchong, Selangor pada Ahad.
Lokasi dipercayai kejadian tembak-menembak antara polis dan sekumpulan penjenayah di Persiaran Prima Utama 3, Puchong Permai, Puchong, Selangor pada Ahad.
A
A
A

PUCHONG - [DIKEMAS KINI] Ibarat melihat aksi tembak-menembak dalam filem di televisyen, kata seorang penduduk Persiaran Prima Utama 3, Puchong Permai, di sini, ketika menceritakan detik penjenayah mati ditembak polis pada Ahad.

Lelaki berusia lingkungan 30-an yang enggan dikenali itu berkata, dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, dia menyaksikan beberapa kereta mengejar sebuah kereta dipercayai dinaiki suspek.

Katanya, tidak lama kemudian berlaku adegan tembak-menembak selepas polis berjaya mengepung dan menahan kereta suspek.

"Saya yakin suspek buruan polis yang berada dalam kereta dikepung itu telah melepaskan tembakan terlebih dahulu.

"Situasi seterusnya berjaya dikawal dengan baik oleh pihak polis berpakaian preman (biasa)," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Isnin.

Sementara itu, seorang wanita berusia 60-an yang juga penduduk di kawasan itu ketika ditemui berkata, dia pada mulanya tidak menyangka berlaku kejadian berbalas tembakan di lokasi terbabit.

Menurutnya, dia terdengar satu letupan yang disangka mercun dimainkan oleh anak-anak muda di kawasan tersebut ketika berada di luar rumah.

"Namun, saya lihat anggota polis berpakaian biasa meniarap di jalan raya sambil melepaskan tembakan ke arah kereta penjenayah.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian tembak-menembak yang berlaku semalam itu macam kejadian perang, sangat menakutkan," jelasnya mengimbau kejadian tersebut.

Dalam kejadian pada Ahad, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seorang supek yang ditembak mati itu mempunyai 14 rekod lampau termasuk enam kes dadah dan satu rekod dikehendaki polis.

Menurutnya, suspek maut selepas berbalas tembakan di hadapan Apartment Sri Acasia, Taman Puchong Prima, di sini sekitar jam 3.49 petang.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian pada Isnin mendapati masih terdapat tali pita kuning di lokasi kejadian.

Difahamkan, sekitar kawasan tersebut ditutup oleh pihak polis bagi proses siasatan dan forensik.