Pemain Palestin kuatkan diri di Piala Asia

Pemain Palestin menjalani latihan sebelum menghadapi Piala Asia. FOTO: AFP
Pemain Palestin menjalani latihan sebelum menghadapi Piala Asia. FOTO: AFP
A
A
A

SKUAD bola sepak Palestin di Piala Asia, Qatar berharap dapat memberi penghormatan kepada penduduk di Semenanjung Gaza yang dilanda peperangan dengan kemenangan pertama mereka di kejohanan itu sejak penampilan sulung pasukan pada 2015.

Israel telah membunuh lebih 23,000 orang dalam serangannya selama lebih tiga bulan, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.

“Bagi kami, mesej yang kami sampaikan di sini melalui bola sepak adalah layak ke pusingan kedua untuk Palestin dan rakyat mahu hidup. Inilah yang kami boleh tawarkan,” kata pemain tengah Oday Kharoub kepada Reuters pada Khamis.

Skuad Palestin akan menentang Iran pada Ahad diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Hong Kong sekali gus berharap untuk mara ke peringkat kalah mati.

Kharoub berkata, sukar bagi pemain, terutama mereka yang berkeluarga di Gaza untuk memberi tumpuan kepada latihan selepas apa yang berlaku di negara mereka.

"Hati kami bersama mereka dan kami hanya boleh berdoa untuk mereka. Insya-ALLAH, kami boleh menggembirakan mereka, walaupun hanya sedikit, dengan layak ke pusingan seterusnya. Ini adalah cita-cita kami,” katanya

Pemain pertahanan Palestin, Mousa Farawi pula berkata, mereka telah menguatkan diri untuk bermain walaupun situasi peperangan yang berlaku di negara mereka.

“Pasukan yang kami ada adalah benar-benar istimewa, jadi kami berharap agar Tuhan memberikan kami rezeki dan memberikan setiap pemain keberanian untuk menyampaikan persembahan di peringkat tinggi. Saya melihat Palestin di pusingan kedua, insya-ALLAH.” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pemain pertahanan Yaser Hamed berkata:

“Seluruh pasukan bermotivasi dengan apa yang berlaku di Palestin, ia adalah masa yang sukar untuk semua keluarga. Tetapi kami adalah pemain profesional, kami harus mengekalkannya dengan cara yang sama seperti yang telah kami usahakan dalam beberapa minggu kebelakangan ini," katanya.