[VIDEO] Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif tidak wajib - Rafizi

A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan tidak boleh mewajibkan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif kerana perlu mengambil kira kemampuan syarikat, majikan dan ekonomi negara.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, dasar itu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana ia bersifat sukarela dan melibatkan insentif kerajaan.

Beliau memberitahu, pelaksanaan itu perlu mengambil kira kesediaan majikan kerana kira-kira 97 peratus daripada entiti perniagaan di negara ini terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Kalau kita hendak wajibkan PMKS ini misalnya, mungkin ada (majikan) gulung tikar, daripada kita hendak naikkan gaji (pekerja) ada yang hilang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Geran di bawah Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan Sesi Townhall bersama Kepimpinan Mahasiswa UiTM Cawangan Selangor di DK500 Kampus Puncak Alam di sini malam tadi.

Rafizi (dua dari kiri) menyampaikan replika cek pelaksanaan pemetaan program dan kursus literasi kewangan kepada wakil UiTM.
Rafizi (dua dari kiri) menyampaikan replika cek pelaksanaan pemetaan program dan kursus literasi kewangan kepada wakil UiTM.

Pada program itu, Kementerian Ekonomi dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM menjalinkan kerjasama dalam Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi pelaksanaan pemetaan program dan juga kursus literasi kewangan.

Pelaksanaan pemetaan dan pemantauan program IPR ialah bancian kemiskinan bertujuan merangka tindakan bersesuaian bagi meningkatkan pendapatan peserta untuk melepasi garis kemiskinan.

Artikel Berkaitan:

Proses pemetaan dan pelaksanaan program itu melibatkan kira-kira 1,400 ketua isi rumah di empat buah negeri berbeza.

Ditanya mengenai Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Rafizi berkata, perkara itu akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rafizi (tiga dari kiri) melancarkan buku modul kursus literasi kewangan pada Program IPR dan Sesi Townhall bersama Kepimpinan Mahasiswa UiTM Cawangan Selangor di DK500 Kampus Puncak Alam pada Selasa.
Rafizi (tiga dari kiri) melancarkan buku modul kursus literasi kewangan pada Program IPR dan Sesi Townhall bersama Kepimpinan Mahasiswa UiTM Cawangan Selangor di DK500 Kampus Puncak Alam pada Selasa.

"Soal gaji kakitangan awam itu berada dalam keputusan kerajaan, cuma kerajaan akan memastikan bahawa kewangan mencukupi, mampan dan perkara itu akan diuruskan Perdana Menteri," kata beliau.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, kementeriannya dan Kementerian Sumber Manusia lebih memberi tumpuan kepada gaji sektor swasta yang juga mempunyai cabaran berbeza.

"Ini bukan semata-mata soal wang, tetapi bagaimana kita hendak meyakinkan majikan untuk sama-sama menaikkan gaji secara berperingkat," tambah beliau.