Pearly-Thinaah akur tewas awal

Pearly (kiri) dan Thinaah kalah kepada beregu China dalam saingan Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Selasa. Foto FB BAM
Pearly (kiri) dan Thinaah kalah kepada beregu China dalam saingan Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Selasa. Foto FB BAM
A
A
A

PEMAIN wanita negara, Pearly Tan mengakui dapat beraksi dengan tenang setelah kerap berdepan kecederaan, biarpun dia dan pasangannya, M Thinaah tewas pada pusingan pertama Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Selasa.

Malah Pearly juga merasakan ada perubahan positif dalam corak permainan mereka dan optimis mampu beraksi dengan lebih baik pada kejohanan akan datang.

Mereka terpaksa akur setelah kalah kepada Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China 20-22, 15-21 dalam kejohanan berstatus Super 1000 itu.

"Saya sangat gembira kerana sudah lama bermain dalam keadaan cedera. Pada aksi hari ini (Selasa), saya beri semuanya seperti ketika latihan.

"Fikiran saya juga lebih tenang tanpa perlu memikirkan mengenai masalah kecederaan apabila bermain.

"Diharapkan keadaan saya kekal seperti ini untuk kejohanan seterusnya," kata Pearly yang sebelum ini dibelenggu kecederaan di siku dan belakang.

Ini merupakan kekalahan pertama daripada tiga pertemuan mereka sebelum ini.

Pearly menjelaskan pasangan lawan dilihat lebih bersedia daripada aspek strategi permainan dan mereka berhak menang.

Artikel Berkaitan:

"Mereka banyak beri tekanan kepada kami dan ia berbeza berbanding sebelum ini. Ini antara punca utama kami tewas hari ini," katanya.

Dalam pada itu, nasib sama turut dialami beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun selepas tunduk kepada pasangan nombor satu dunia Liang Wei Keng-Wang Chang dari China 12-21, 19-21.