Harimau Malaya mampu 'mengaum' - Indra Putra

Indra Putra
Indra Putra
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya mampu melakar kejutan dengan melangkah lebih jauh pada saingan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Doha, Qatar bermula Jumaat ini.

Keyakinan itu disuarakan bekas pemain negara, Indra Putra Mahayuddin yang pernah beraksi di pentas berprestij Asia itu pada edisi 2007, dengan menyifatkan pasukan negara kini serba lengkap dan dibarisi pemain yang mempunyai kelebihan tersendiri.

"Ini antara pasukan negara yang mampu memberi saingan di peringkat kumpulan... apa yang saya nampak kekuatan dari segi serangan, kita ada Muhammad Faisal Abdul Halim dan Arif Aiman Mohd Hanapi,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Indra Putra berkata, kredibiliti ketua jurulatih negara Kim Pan Gon juga tidak perlu dipertikaikan dengan membawa banyak perubahan dari segi taktikal berbanding skuad dibarisinya di bawah kendalian Norizan Bakar, pada 16 tahun lepas.

"Saya rasa Pan Gon sudah buat terbaik dan kita sendiri dapat lihat bagaimana jurang prestasi mereka berbeza daripada dahulu. Pemilihan pemain juga terdiri daripada mereka yang mempunyai kelebihan masing-masing," katanya.

Pemain kelab Kelantan United itu berkata, skuad kebangsaan turut diperkuatkan dengan kehadiran pemain naturalisasi sekali gus memantapkan lagi skuad Harimau Malaya yang berada di ranking ke-130 dunia.

Justeru, beliau menasihatkan barisan pemain negara supaya tidak mensia-siakan peluang beraksi di pentas tertinggi Asia itu bagi membuktikan bahawa Malaysia juga mampu bersaing dengan pasukan gergasi Asia.

"Kita sudah sampai satu pentas yang tinggi, ia beri peluang kepada pemain kita untuk membuka mata dunia yang Malaysia berada di tahap besar, jadi rebutlah peluang untuk menjadikan negara kita negara yang mampu bersaing dengan pasukan-pasukan besar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi bekas pemain negara yang beraksi di Piala Asia 2007, Akmal Rizal Ahmad Rakhli optimis skuad Harimau Malaya mampu mengutip sekurang-kurangnya empat mata dalam saingan peringkat kumpulan di Qatar.

"Skuad kebangsaan yang ada sekarang ini adalah skuad terbaik, saya dapat lihat dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, kita lihat keputusan-keputusan perlawanan persahabatan dalam tahun 2023 nampak positif.

"Pemain sudah serasi dan sudah tahu apa yang jurulatih mahukan secara taktikal dan semalam pun mereka seri 2-2 dengan Syria, memang keputusan baik, nampak pasukan kali ini sudah cukup bersedia untuk beraksi di Piala Asia," katanya.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Jordan pada 15 Januari diikuti Bahrain (20 Januari) dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik layak untuk pusingan 16 pasukan di Doha.

Ini merupakan penampilan keempat Malaysia dalam Piala Asia selepas layak secara merit pada 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan sebagai tuan rumah bersama pada 2007 tetapi tidak pernah mara ke pusingan 16 pasukan terbaik dalam kejohanan ini.

Ikuti berita dan info terkini mengenai Piala Asia 2023 di asiancup.bernama.com. - Bernama