Aduan panggilan terputus turun 74 peratus - Fahmi

Fahmi ketika sidang akhbar selepas melaksanakan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular di Putrajaya pada Selasa.
Fahmi ketika sidang akhbar selepas melaksanakan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular di Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merekodkan penurunan panggilan terputus untuk setiap rangkaian mudah alih 4G antara 10 hingga 74 peratus.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, data tersebut melibatkan kualiti liputan perkhidmatan suara oleh penyedia perkhidmatan mudah alih CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL, Telekom Malaysia.

"Saya ingin tekankan bahawa ujian yang dibuat ialah Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular dan bukannya panggilan menggunakan internet.

"SKMM akan terus memantau isu ini sepanjang suku pertama sehingga 31 Mac 2024 dan melaporkan semula kepada saya," katanya pada sidang akhbar Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular di sini pada Selasa.

Sebelum itu, Fahmi dan timbalannya, Teo Nie Ching dibawa menaiki bas dari Bangunan Parlimen ke Kementerian Komunikasi di Putrajaya bagi melihat dan meneliti kualiti panggilan telefon bimbit sama ada memuaskan atau sebaliknya.

Ujian tersebut dilaksanakan oleh pegawai SKMM terlatih menggunakan peralatan khas pengujian Nemo Walker Air.

Dalam pada itu Fahmi menegaskan, kerajaan memandang serius isu panggilan terputus yang dibangkitkan pengguna dan mahu perkara berkenaan ditangani segera demi kepentingan rakyat.

Justeru ujarnya, satu pertemuan antara SKMM dengan pihak pengendali rangkaian mudah alih dan Digital Nasional Berhad (DNB) telah diadakan pada 14 Disember lalu bagi membincangkan masalah panggilan terputus dalam rangkaian mudah alih.

Artikel Berkaitan:

"Susulan itu satu bengkel telah dianjurkan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menangani masalah ini.

"Selain pengendali rangkaian mudah alih 4G mengoptimumkan rangkaian, DNB juga telah mengaktifkan fungsi 'Call Reestablishment' (CRE) untuk saluran LTE700 dalam rangkaian 5G bermula 21 Disember hingga 29 Disember 2023 untuk kesemua tapak 5G di seluruh negara," jelasnya.