NIOSH naik taraf program latihan keselamatan, kesihatan pekerja

Steven Sim (dua dari kiri) mengadakan lawatan rasmi ke ibu pejabat NIOSH, pada Rabu.
Steven Sim (dua dari kiri) mengadakan lawatan rasmi ke ibu pejabat NIOSH, pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia akan terus mengukuhkan program Latihan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (KKP) bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan sumber manusia negara terbela.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) akan menerajui usaha berkenaan menerusi pelbagai program latihan berkaitan KKP.

Menurutnya, agensi berkenaan akan memberi komitmen padu bagi memastikan keselamatan, kesihatan serta kebajikan semua pekerja terjamin.

“Langkah itu juga selari dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan perlindungan terhadap pekerja melalui penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) (Pindaan) 2022.

“Baru-baru ini, negara telah digemparkan dengan dua kes bencana kerja yang meragut nyawa. Merujuk kepada kes Nur Ahmad Yusoff Muei di Selangor dan R Thinesh Kumar di Pulau Pinang.

“Ini semakin menunjukkan pentingnya penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) (Pindaan) 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Justeru, Steven Sim bertekad untuk menyegerakan penguatkuasaan akta tersebut.

Tambahnya, sebagai institusi yang bertanggungjawab meningkatkan tahap KKP negara, NIOSH giat melaksanakan pelbagai usaha dalam meningkatkan kesedaran majikan dan pekerja untuk menyertai latihan ditawarkan khususnya melibatkan KKP.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, NIOSH sedang menaik taraf program latihan sedia ada bagi memenuhi keperluan industri dan memanfaatkan platform digital untuk meningkatkan keberkesanan serta capaian program latihan yang dianjurkan.