Banjir kilat tiada kesudahan

Banjir berlaku di IOI Mall, Puchong pada 16 Disember lalu.
Banjir berlaku di IOI Mall, Puchong pada 16 Disember lalu.
A
A
A

WALAUPUN banjir kilat disebabkan keadaan cuaca dan jumlah taburan hujan luar biasa namun penyelesaian konkrit dituntut warga Lembah Klang bagi mengelakkan bencana itu terus berulang seperti yang berlaku di IOI Mall, Puchong pada 16 Disember lalu.

Bukan hanya pusat beli-belah itu kerap ditenggelami banjir setiap kali hujan lebat, kawasan sekitarnya seperti Shah Alam, Puchong, Klang dan Subang Jaya juga pasti sesak akibat paras air yang meningkat secara mendadak.

Menerusi Apa Khabar Rakyat minggu ini, wartawan Sinar Harian, Mohd Azlim Zainury menyingkap suara hati orang ramai berhubung isu tersebut.

PUCHONG - Rata-rata warga Selangor menetap di kawasan Shah Alam, Puchong, Klang dan Subang Jaya yang ditemui Sinar Harian, menuntut satu penyelesaian jangka panjang diambil bagi mengatasi isu banjir kilat.

Mereka mendakwa sudah ‘penat’ menghadap bencana itu selain terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan kenderaan yang terkandas.

Aidil Zulkarnain Zulkifli
Aidil Zulkarnain Zulkifli

Penghantar makanan, Aidil Zulkarnain Zulkifli, 23, berkata, dia terkandas dalam banjir kilat hujung tahun lalu ketika dalam perjalanan dari Subang melalui Puchong dan Petaling Jaya.

“Ada beberapa rakan lain turut terkandas di laluan sama,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu dia berharap pihak berwajib khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan isu tersebut.

MOHD BAKHTIAR
MOHD BAKHTIAR

Sementara itu, pengguna jalan raya, Mohd Bakhtiar Mohd Pahroraji, 55, berkata, PBT perlu menambah baik dan mempertingkatkan aktiviti penyelenggaraan sistem perparitan, pembuangan sampah dan memotong pokok serta membersihkan kawasan belukar.

“Masalah banjir kilat ini berlaku bukan semata-mata disebabkan faktor semula jadi tetapi lebih kepada aspek penyelenggaraan yang diabaikan,” katanya yang merupakan kakitangan swasta.

Kova
Kova

Penduduk Taman Wawasan di Puchong, Kova, 46, pula percaya banjir kilat di pusat beli-belah IOI Mall di Puchong berpunca daripada masalah sistem perparitan yang tersumbat.

“Kalau longkang tidak tersumbat, risiko banjir kilat dapat dikurangkan dan mungkin dapat diatasi sepenuhnya jika sistem perparitan dinaik taraf menjadi lebih baik,” kata bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Sebelum ini, Laluan Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP), berhampiran pusat beli-belah IOI Mall di Puchong dilanda banjir kilat, susulan hujan lebat pada 16 Disember lalu.

Pusat beli-belah IOI Mall Puchong yang terletak berhampiran turut terjejas selepas ditenggelami banjir dan beberapa kawasan utama di Lembah Klang turut dilaporkan sesak akibat dinaiki air.

Turut terjejas ialah beberapa kawasan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara antaranya Taman Kinrara 2, Bandar Kinrara 4 dan Taman Pak Siong.

ADUN USAHAKAN PENYELESAIAN JANGKA MASA PANJANG

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han memaklumkan, isu banjir kilat menjadi salah satu keutamaannya malah pihaknya sentiasa mencari jalan bagi mengatasinya.

Ng Sze Han
Ng Sze Han

Menurutnya, secara umumnya projek tebatan banjir di dalam DUN Kinrara telah dilakukan dari semasa ke semasa dan sentiasa ditambah baik berdasarkan keperluan di lokasi-lokasi titik panas.

“Contohnya banjir di Taman Kinrara 1 diatasi pada 2022 secara menyeluruh melibatkan peruntukan RM1.1 juta (pengukuhan tebing dan pembinaan ban oleh Jabatan Pengairan Saliran), serta pendalaman kolam takungan banjir Bohol oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di bahagian Hulu Sungai Kuyoh.

Banjir kilat pada 16 Disember lalu mengakibatkan pusat beli-belah IOI Mall, Puchong ditenggelami air dan menyebabkan banyak kenderaan terkandas.
Banjir kilat pada 16 Disember lalu mengakibatkan pusat beli-belah IOI Mall, Puchong ditenggelami air dan menyebabkan banyak kenderaan terkandas.

“Baru-baru ini pihak DBKL sekali lagi memberi maklum balas kerja pendalaman kolam Bohol telah dilakukan pada November, sekali gus membantu menampung taburan hujan yang lebat, seperti yang berlaku pada 16 Disember lalu di mana taburan hujan dilaporkan 83 milimeter (mm) sejam,” katanya.

Di Taman Kinrara 2, pula katanya, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah membuat persiapan untuk menaik taraf longkang utama di TK2 bagi mengelakkan kejadian banjir di sana berulang.

“Kita juga akan beri maklumat berkenaan projek naik taraf itu dari semasa ke semasa dan pada masa sama projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Klang dijangka bermula terdekat ini,” katanya.

Ujarnya, semua usaha itu menjadi komponen penting supaya sistem saliran di Puchong dan Subang dapat mengalirkan air dengan lancar ke Sungai Utama.

Pengunjung melihat kenderaan-kenderaan di luar pusat beli-belah IOI Mall Puchong yang ditenggelami banjir kilat pada 16 Disember lalu.
Pengunjung melihat kenderaan-kenderaan di luar pusat beli-belah IOI Mall Puchong yang ditenggelami banjir kilat pada 16 Disember lalu.

“Bagi kejadian di IOI Mall, ia melibatkan pelbagai agensi dan pihak swasta seperti IOI Mall, Pengurusan Lebuhraya LDP dan Prasarana atau Rapid Rail.

“Satu mesyuarat bersama pihak terlibat diadakan 21 Disember lalu dan buat masa ini dua kawasan kritikal banjir kilat ialah di IOI Mall dan Taman Kinrara 2 serta pemulihan kawasan tanah runtuh di Taman Wawasan.

"Pihak MBSJ sedang menyiapkan laporan serta kertas kerja untuk dibentangkan dalam mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi Selangor,” katanya.

Tambahnya, semua agensi akan memberi maklum balas akhir dan mencadangkan jumlah kos untuk penelitian lanjut pihak kerajaan negeri supaya penyelesaian jangka masa panjang dapat diambil.