Lebih 100 wartawan terbunuh sejak pengeboman Israel di Gaza

Sekurang-kurangnya 100 wartawan telah terbunuh sejak perang Israel ke atas Gaza bermula pada 7 Oktober lalu. - Foto Agensi
Sekurang-kurangnya 100 wartawan telah terbunuh sejak perang Israel ke atas Gaza bermula pada 7 Oktober lalu. - Foto Agensi
A
A
A

SEKURANG-kurangnya 100 wartawan telah terbunuh sejak perang Israel ke atas Gaza bermula pada 7 Oktober lalu, berdasarkan angka baharu yang dikeluarkan pejabat media kerajaan di Gaza.

Wartawan Palestin, Muhammed Abu Hweidy adalah yang terbaharu terbunuh dalam serangan udara Israel di rumahnya di timur Kota Gaza pada Sabtu.

Pegawai Palestin di Gaza berkata, jumlah itu sebenarnya mungkin lebih tinggi.

Bagaimanapun, menurut pengiraan Jawatankuasa Melindungi Wartawan, sekurang-kurangnya 69 wartawan telah terbunuh dalam konflik itu termasuk jurukamera Al Jazeera, Arab Samer Abudaqa.

Lebih 50 premis atau pejabat media di Gaza telah musnah sepenuhnya atau sebahagiannya oleh serangan Israel.

Beratus-ratus wartawan Palestin dan keluarga mereka telah dipindahkan secara paksa ke selatan.

Pekerja media juga terpaksa meninggalkan peralatan pelaporan mereka di pejabat di utara dan melaporkan dalam keadaan sukar di tengah-tengah gangguan komunikasi yang kerap.

Wartawan yang bekerja di kawasan konflik bersenjata dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang telah dilanggar Israel berulang kali.

Artikel Berkaitan:

Wartawan Palestin berkata, Israel sengaja menyasarkan mereka untuk menutup cerita mereka.

Timbalan Setiausaha Agung Persekutuan Wartawan Antarabangsa, Tim Dawson berkata, adalah mustahil untuk mengabaikan jumlah kematian wartawan yang sangat tinggi.

Katanya, tidak ada konflik lain yang boleh dilihat menyebabkan kematian wartawan yang tinggi kecuali di Gaza.

Dawson menambah, wartawan di Gaza "hanya mempunyai kamera, mikrofon dan buku nota untuk terus melakukan kerja mereka walaupun angka kematian sangat mengejutkan". - Awani