Gandingan baharu, senior mantapkan cabaran Jang

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al- Qadri (tengah) menyerahkan watikah pelantikan kepada Sazali (kanan) sebagai Ketua Jurulatih Negeri Sembilan yang baharu pada Majlis Memperkenalkan Ketua Jurulatih Pasukan Negeri Sembilan bagi Liga Premier 2020 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, semalam.
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al- Qadri (tengah) menyerahkan watikah pelantikan kepada Sazali (kanan) sebagai Ketua Jurulatih Negeri Sembilan yang baharu pada Majlis Memperkenalkan Ketua Jurulatih Pasukan Negeri Sembilan bagi Liga Premier 2020 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, semalam.
A
A
A

PENGENDALI baharu Negeri Sembilan, Sazali Saidun yakin gandingan pemain baharu dan senior mampu membentuk pasukan yang mantap pada kempen Liga Premier 2020.

Beliau turut berharap pasukan itu mampu mengembalikan semula zaman kegemilangan Negeri Sembilan dan seterusnya layak ke Liga Super 2021.

"Dengan gabungan pemain ini, saya harap dapat membentuk pasukan yang memiliki kesungguhan untuk menang dan seterusnya menarik semula kehadiran ramai penonton di Stadium Tuanku Abdul Rahman,” katanya.

Skuad Rusa mengekalkan 16 pemain termasuk empat pemain import musim 2019, selain menguatkan pasukan dengan tujuh pemain baharu dan tiga pemain Piala Presiden.

Ia merangkumi enam pemain berumur 30 tahun ke atas; 11 pemain (25 hingga 29 tahun) dan sembilan pemain (22 hingga 25 tahun).

Antara pemain musim lalu yang dikekalkan termasuk kapten pasukan, Norhafiz Zamani Misbah, Kaharuddin Abdul Rahman, Abdul Halim Zainal, Aiman Mohamad Khalidi dan Mohd Fauzi Abdul Latif.

Manakala tujuh pemain baharu ialah Shahrom Kalam (PKNS FC); Shahurain Abu Samah (PDRM); Nazrul Kamaruzzaman (Selangor United); Che Safwan Hazman Che Hassan (Pulau Pinang); Mohd Arip Amiruddin (UKM FC); Ahmad Azriddin Rosli (UiTM FC) dan Syamie Iszuan Amin (Sarawak).

Dalam pada itu, Sazali berkata, pasukannya telah mula menjalani latihan sejak 1 Disember lepas dan merancang mengadakan beberapa perlawanan persahabatan pada Januari ini dengan JDT, Sabah dan Melaka.

Artikel Berkaitan:

"Kita ada masa sehingga 29 Februari depan sebelum liga bermula untuk membentuk kesefahaman daripada perlawanan persahabatan yang telah diatur,” katanya. - Bernama