Gutkha tiruan bernilai RM23,270 dirampas

Pegawai memeriksa Gutkha dipercayai tiruan di premis sekitar Jalan Aston, Bukit Mertajam.
Pegawai memeriksa Gutkha dipercayai tiruan di premis sekitar Jalan Aston, Bukit Mertajam.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang telah merampas gutkha tiruan bernilai RM23,270 di sekitar Jalan Aston, di sini pada petang Rabu.

Gutkha ialah campuran pinang, tembakau dan kapur tiruan yang dimakan oleh warga asing.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan berkata, pihaknya bersama wakil pengadu daripada Malik Streams Corporation Sdn Bhd telah menyerbu sebuah premis perniagaan di sekitar kawasan berkenaan pada jam 1 petang.

Menurutnya, serbuan dibuat hasil daripada maklumat pemilik cap dagangan berdaftar barangan terbabit serta risikan awal yang telah dilakukan beberapa hari sebelum tindakan dilakukan.

"Jenama itu adalah cap dagangan berdaftar yang mana, ia dipakaikan dengan salah mengikut Akta Cap Dagang 2019.

"Kesemua barangan tersebut bersama beberapa dokumen lain telah disita dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM23,270," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu.

Artikel Berkaitan:

"Sementara bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.

"Hukuman ini adalah untuk pertubuhan perbadanan," katanya.

Jegan berkata, bagi bukan pertubuhan perbadanan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

"KPDN ingin memberikan peringatan serta amaran kepada mana-mana pihak agar tidak melakukan aktiviti menjual barang yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah," katanya.