Arif Aiman berjanji tidak mahu cepat alpa

Arif Aiman ketika meraikan jaringannya pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di antara JDT dan TFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini
Arif Aiman ketika meraikan jaringannya pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di antara JDT dan TFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini
A
A
A

BINTANG sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi berjanji akan terus meningkatkan prestasi permainannya selepas menyambung kontrak jangka panjang bersama Harimau Selatan.

Menurutnya, 2023 menjadi tahun yang banyak memberikan kenangan tidak dapat dilupakan bersama JDT.

Pemain berusia 21 tahun itu turut mengucapkan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menjadi watak penting dalam kariernya.

“Saya berbesar hati mendapat peluang bersama JDT untuk beberapa tahun lagi. Saya sangat bangga dan gembira berada di kelab ini sejak hari pertama.

“Saya akan cuba menjadi lebih baik dari tahun ke tahun Insya-ALLAH. Tahun 2023 adalah tahun yang memberikan lebih banyak kenangan yang tidak dapat saya lupakan bersama kelab @officialjohor ini.

“Junjung kasih Tunku atas segalanya @hrhcrownprinceofjohor," katanya dalam hantaran di laman Instagramnya.

Pada Selasa, JDT mengesahkan telah melanjutkan kontrak Arif Aiman selepas pemain itu tampil mengagumkan menjaringkan 24 gol dan melakukan 19 bantuan jaringan.

Arif Aiman yang memulakan karier bersama Akademi JDT pada 2018 telah melakukan penampilan pertama dengan skuad Harimau Selatan pada Mac 2020.

Artikel Berkaitan:

Dia dinaikkan pangkat daripada JDT IV, JDT III dan JDT II hingga ke skuad senior hanya dalam tempoh kurang dua tahun selain memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai musim 2021 dan 2022.

Selain cukup tajam bersama Harimau Selatan, Arif Aiman juga tampil cemerlang apabila meledak enam gol bersama pasukan kebangsaan.

Malah, kelibatnya juga mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila menjangkakannya bakal menyerlah di Piala Asia tahun depan.