Selangor bukan pasukan biasa-biasa

Selangor mengakhiri saingan Liga Super di kedudukan kedua sekali gus menyambar slot ke saingan Asia musim 2024.
Selangor mengakhiri saingan Liga Super di kedudukan kedua sekali gus menyambar slot ke saingan Asia musim 2024.
A
A
A

TAN Cheng Hoe menyifatkan tugasan mengendalikan pasukan berprofil tinggi Liga Malaysia (Liga-M) seperti Selangor FC merupakan satu cabaran besar setiap individu bergelar jurulatih.

Namun menurut bekas pengendali skuad kebangsaan dan Kedah itu, dia menyahut cabaran mengendalikan The Red Giants sebagai motivasi diri dengan tekad mengembalikan semula era kegemilangan pasukan tersebut.

"Memang apabila pengurusan Selangor FC menawarkan tanggungjawab mengendalikan pasukan ini merupakan satu cabaran yang besar.

"Bukan sahaja daripada pihak pengurusan tetapi juga dalam kalangan penyokong-penyokong Selangor itu sendiri yang mahu melihat pasukan ini kembali berada pada tahap terbaik.

"Saya masa kecil dulu pun minat pasukan Selangor berikutan kejayaan yang diraih pasukan pada ketika itu, ia juga menjadi motivasi kepada saya selepas bergelar pengendali pasukan," katanya selepas perlawanan menentang PDRM FC.

Pengurusan Selangor sebelum ini melantik Cheng Hoe sebagai pengendali baharu gergasi Lembah Klang itu pada 24 September tahun lalu bagi mengantikan Michael Feichtenbeiner susulan prestasi kurang memuaskan skuad itu dalam saingan Liga Malaysia.

Selangor sebelum ini mengesahkan kemaraan ke saingan Asia, musim depan, selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 2 Disember lalu.

Red Giants kemudian meneruskan momentum positif apabila meraih kemenangan ke-20 liga musim ini dengan menewaskan PDRM, 2-0 dalam perlawanan terakhir liga di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai aksi berdepan PDRM kendalian Datuk Ahmad Yunus Alif, Cheng Hoe berkata, "Satu perlawanan yang amat sengit walaupun kita menang 3-1, kerana terdapat moment yang kita amat bergelut untuk mendapatkan jaringan gol, selain PDRM juga begitu defensive.

"Apa yang penting saya gembira apabila pemain-pemain memberikan sepenuh fokus kepada memburu jaringan seterusnya kemenangan dalam perlawanan malam ini."

Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Selangor mengakhiri saingan di tangga kedua Liga Super dengan 61 mata - 20 menang, satu seri, lima tewas (26 perlawanan) berbanding kelima dengan 30 mata - lapan menang, enam seri, lapan tewas - selepas mengharungi 22 perlawanan.