MGB peroleh kontrak projek pembangunan bernilai RM167.75 juta

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat pembangunan dan hartanah, MGB Berhad (MGB) menerima kontrak bernilai RM167.75 juta bagi projek pembangunan di Genting Highlands, Pahang.

Perolehan kontrak melalui anak syarikat MGB Construction & Engineering Sdn Bhd itu daripada RDC Arkitek (KL) Sdn Bhd bagi pihak Johan Anggun Sdn Bhd.

Kontrak itu melibatkan pembinaan pangsapuri 28 tingkat, yang bermula dari tingkat sembilan ke 36, kemudahan-kemudahan seperti tempat letak kereta dan ruang lobi pangsapuri yang melibatkan kawasan seluas 2.30 ekar tanah di Genting Highlands.

Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San, berkata, melalui kontrak itu, buku pesanan pembinaan syarikatnya telah meningkat kepada RM1.22 bilion dengan Nilai Pembangunan Kasar bernilai RM1.26 bilion.

LIM HOCK SAN
LIM HOCK SAN

“Ini merupakan penutup yang positif untuk tahun 2023. Berdasarkan keputusan yang memberangsangkan setakat ini, kami menjangkakan permulaan yang baik bagi tahun 2024 di samping perkembangan yang kukuh dalam segmen pembinaan dan pembangunan hartanah.

“MGB akan terus meningkatkan kepakaran baru dan memperhalusi kaedah untuk meningkatkan kualiti serta mempelbagaikan penggunaan produk konkrit pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) kami,”katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Menurutnya, IBS kekal sebagai komponen penting dan teras di dalam perniagaan syarikat yang akan dimanfaatkan untuk mendapatkan projek-projek baru.

Artikel Berkaitan:

“Di sebalik keperluan dan permintaan industri pembinaan dan pembangunan hartanah yang sentiasa berubah, kami kekal optimis di dalam memenuhi keperluan pelanggan sekaligus menjadi peneraju bagi industri berkaitan,”katanya.