Sabah FC mahu kekal momentum

Kim Swee (kiri) bersama Tae-su ketika sidang media menjelang aksi terakhir Kumpulan H Piala AFC menentang PSM Makassar di Likas pada Khamis. - Foto FB Sabah FC
Kim Swee (kiri) bersama Tae-su ketika sidang media menjelang aksi terakhir Kumpulan H Piala AFC menentang PSM Makassar di Likas pada Khamis. - Foto FB Sabah FC
A
A
A

PARA pemain Sabah FC enggan berasa selesa meskipun sudah meraih tiket ke separuh akhir Zon Asean dalam saingan Piala AFC musim ini.

Sebaliknya jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu anak-anak buahnya mengekalkan momentum cemerlang pada aksi terakhir Kumpulan H menentang PSM Makassar di Likas pada Khamis.

Kelayakan awal itu memberikan kelebihan buat The Rhinos menyusun pemain kerana mereka perlu menghadapi satu lagi perlawanan penting pada hujung minggu menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk menentukan tempat ketiga Liga Super.

“Persiapan berjalan seperti biasa selepas berehat beberapa hari.

"Kami kembali berlatih dan perlawanan terakhir ini cukup penting untuk kekalkan momentum seperti mana kita lakukan dengan pasukan Hougang United sebelum ini.

“Ditambah kita akan hadapi perlawanan yang cukup penting Liga Super pada Ahad nanti.

“Walaupun sudah layak, kita ingin kekalkan momentum dan sesiapa pun yang diturunkan saya percaya mampu menjalankan tugas untuk kita kekalkan prestasi seterusnya untuk memastikan kita tidak kehilangan mata,” katanya.

Mengulas kecederaan beberapa pemain yang mungkin menjejaskan persediaan pasukan, Kim Swee memaklumkan bahawa masih mempunyai masa untuk memilih pemain terbaik untuk beraksi.

Artikel Berkaitan:

“Semua pemain dalam keadaan baik kecuali Gary Steven Robbart dan Gabriel Peres yang masih belum pulih sepenuhnya, namun kita masih mempunyai masa untuk menentukan siapakah yang bakal diturunkan,” katanya.

Dalam pada itu, kapten pasukan, Park Tae-su juga senada dengan jurulatihnya untuk meneruskan momentum cemerlang dan para pemain, bertekad memberikan aksi terbaik kepada para penyokong sebelum aksi penting menentang Kedah pada Ahad.

“Pasukan bersedia dengan baik dan kami akan lakukan yang terbaik untuk memenangi perlawanan ini.

"Walaupun sudah layak tetapi kami mahu mengekalkan momentum untuk perlawanan terakhir liga kerana mahu mendapat tempat ketiga,” katanya.

Pada perlawanan kedua kumpulan Oktober lalu, Sabah berjaya membenam PSM Makassar 5-0 dalam aksi di Bali dan dijangka tidak berdepan masalah untuk mengulangi pencapaian yang sama di hadapan penyokong sendiri.