UMPSA diiktiraf dunia dalam ESG

UMPSA tersenarai dalam kedudukan ke-565 universiti terbaik dunia dalam ESG. - Foto ihsan UMPSA
UMPSA tersenarai dalam kedudukan ke-565 universiti terbaik dunia dalam ESG. - Foto ihsan UMPSA
A
A
A

KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) diiktiraf dunia apabila tersenarai dalam kedudukan 565 universiti terbaik dunia daripada 1,403 universiti tersenarai dalam Penarafan QS Sustainability 2024 yang menilai universiti berdasarkan tindakan yang diambil terhadap isu Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Universiti itu juga meraih kedudukan ke-133 Asia dalam penarafan tersebut.

Penarafan itu dibuat berdasarkan tiga skop penilaian yang utama iaitu kesan persekitaran (45 peratus), kesan sosial (45 peratus) dan tadbir urus (10 peratus).

Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, UMPSA terus memperlihatkan komitmen universiti di dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) serta menilai usaha universiti dalam menangani masalah dunia berkaitan ESG.

Yuserrie
Yuserrie

“Dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Kampus Lestari menerusi Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 bagi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 5C(2), UMPSA telah berjaya mencapai sasaran kemajuan pembangunan kampus lestari yang ditetapkan.

"Selain itu, UMPSA mengaplikasikan teknologi dan mengamalkan gaya hidup lebih baik dalam kalangan warga dengan mengurangkan jejak karbon yang bakal memberi penyelesaian inovasi kepada penggunaan tenaga," kata beliau.

Jelas Yuserrie, dalam masa yang sama, UMPSA sentiasa berusaha untuk memperkenalkan teknologi serta amalan kelestarian kepada masyarakat, mendidik serta yang lebih utama menjadi suri teladan (role model) mengenai prinsip-prinsip kelestarian.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, menerusi inisiatif tersebut, bagi menggalakkan penggunaan karbon rendah serta kenderaan pintar yang cekap tenaga, UMPSA memiliki dua bas elektrik dan dua van elektrik dengan stesen pengisian EV di kampus.

"UMPSA giat menjalankan inisiatif terhadap usaha memupuk kesedaran amalan lestari antaranya pemasangan solar di universiti ini

"Ia melibatkan tiga kaedah iaitu pemasangan di atas bumbung bangunan, pemasangan di atas parkir kenderaan atau dalam istilah teknikal ialah Building Integrated Photo Voltic, BIPV dan pemasangan solar di atas permukaan tasik," jelas beliau.

Ujar beliau, kedudukan itu juga meletakkan UMPSA di kedudukan #1 terbaik Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), #12 (daripada 26 buah universiti) terbaik di Malaysia.

Tambah beliau, dalam UI Greenmetric World University Rankings (UIGWUR) 2023 yang diumumkan pada Selasa turut menyenaraikan UMPSA berada di kedudukan 68 dunia berbanding 1,183 buah universiti yang dinilai.

"Penarafan UIGWUR ini juga mengukur inisiatif kehijauan dan kelestarian alam sekitar, dimulakan oleh Universitas Indonesia pada 2010 dengan menilai 39 petunjuk dalam 6 kriteria.

"Kriteria terlibat terdiri tetapan dan infrastruktur (15 peratus), tenaga dan perubahan iklim (21 peratus), bahan buangan (18 peratus), air (10 peratus), pengangkutan (18 peratus) dan pendidikan dan penyelidikan (18 peratus)," kata Yuserrie.

Tambah beliau, pengiktirafan itu secara tidak langsung menjadi penanda aras penting bagi menarik lebih ramai pelajar bukan sahaja dalam negara, malah antarabangsa untuk melanjutkan pengajian ke UMPSA.

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga universiti atas komitmen pencapaian dalam usaha memperkasakan amalan lestari melalui pelbagai program universiti yang dilaksanakan.