[VIDEO] Pegawai penjara dituduh pecah amanah duit banduan

A
A
A

KUALA PILAH - Seorang pegawai penjara Pusat Pemulihan Dadah Jelebu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan pecah amanah wang milik banduan bernilai hampir RM10,000, Mac lalu.

Tertuduh, Hasry Hisyam Hassan, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norma Ismail selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Inspektor Penjara Pusat Pemulihan Dadah Jelebu telah diamanahkan penguasaan ke atas harta tertentu iaitu wang tunai milik banduan yang dimasukkan ke dalam Pusat Pemulihan Dadah Jelebu telah melakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta berjumlah RM9,850.

Hasry Hisyam (tengah) diiring polis ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pada Rabu.
Hasry Hisyam (tengah) diiring polis ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pada Rabu.

Kesalahan itu dilakukan di Pusat Pemulihan Dadah Jelebu antara 30 Mac 2023 hingga 1 Mei 2023

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dengan sebat serta boleh juga dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan mencadangkan jaminan RM6,000.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun peguam, Adi Zulkarnain Zulkafli memohon jumlah jaminan yang minimum kerana tertuduh perlu menanggung isteri dan dua anak yang masih bersekolah selain mempunyai komitmen bulanan membayar kereta serta rumah.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 10 Januari depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!