Scha Alyahya tegas soal pendidikan anak-anak

Awal dan Scha mempunyai cara masing-masing terhadap dua puteri mereka.
Awal dan Scha mempunyai cara masing-masing terhadap dua puteri mereka.
A
A
A

PENGACARA dan pelakon popular, Scha Alyahya mengakui tegas membabitkan soal pendidikan anak-anak terutamanya, Lara Alana, 9 tahun.

Jelas pemilik nama penuh Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya itu, realiti dunia yang semakin mencabar dan menakutkan membuatkan dia mengambil langkah menerapkan pendidikan seksual sejak anaknya masih kecil.

"Saya tahu perkara sebegini memang tabu untuk dibincangkan, tetapi anak pada zaman kini memang terdedah banyak perkara menerusi media sosial. Macam saya, memang saya pantau apa sahaja yang Lara layari di Internet.

"Saya juga beritahu Lara apa bahagian tubuhnya yang tidak boleh disentuh oleh orang tidak dikenali ataupun kawannya sendiri. Malah saya juga pesan pada Lara untuk tidak menyentuh rakannya pada bahagian yang dilarang," katanya.

Scha berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran produk Glade Essences di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Scha akui lebih tegas dengan anak-anak.
Scha akui lebih tegas dengan anak-anak.

Tambah wanita berusia 40 tahun itu, dia dan suami yang juga pengacara, Awal Ashaari sependapat dalam menerapkan pendidikan seksual sejak kecil, pembentukan akhlak juga penting bagi membendung perkara tidak diingini pada masa depan.

“Memang sukar kita nak halang, kadang-kadang mungkin tak tahu apa dia buat di belakang kita, tapi apa yang boleh dikawal, saya akan beritahu pada Lara, contohnya tidak manis menari sebegitu di depan kamera.

Artikel Berkaitan:

“Jadi perkara asas yang kuat seperti akhlak perlu diterap kerana ia boleh menghalang dia daripada melakukan perbuatan tak elok,” jelasnya.

Selain itu, hos Hero & Dewi Remaja ini memantau aktiviti harian terutamanya Lara yang semakin membesar.

Antaranya mengehadkan tempoh penggunaan gajet pintar dan cara anak sulungnya itu menggunakan media sosial.

“Kami kawal berapa lama Lara boleh guna. Dia perlu minta kebenaran jika perlu guna lebih daripada waktu yang ditetapkan.

“Biasanya kami akan berikan pada Sabtu dan Ahad bermula dari jam 8 hingga 10 malam saja dan hanya ada beberapa aplikasi sahaja dalam telefon bimbitnya. Kami bimbang dia bersembang dengan individu tak dikenali menerusi dalam talian," jelasnya.

Dalam masa sama, Scha juga bersyukur kerana waktu kerja yang lebih fleksibel menyebabkan dia mempunyai masa untuk menguruskan jadual dan memantau anak bersama-sama suami.

"Lara ada jadual dan rutinnya sendiri. Jadi walaupun penat macam mana dengan kerja, saya akan pastikan susun buku mengikut jadual sekolahnya sebelum tidur dan hantarnya ke kelas tambahan berkaitan.

"Kadangkala, saya rasa agak tegas berbanding Awal kerana Lara pernah beritahu, dia bimbang untuk menunjukkan keputusan ujian pada saya, tetapi dalam masa sama, saya rasa itu yang terbaik kerana Awal pula jenis manjakan anak," katanya.

Scha dan Awal mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012 dan turut dikurniakan seorang lagi anak perempuan, Lila Amina, 2 tahun.

Sementara itu, berkongsi perkembangan seninya, Scha berkata, selain sibuk dengan progra Hero & Dewi Remaja, dia kini sudah mula menjalani sesi mempromosikan filem lakonannya, Telaga Suriram yang dijangka menemui penonton di pawagam pada Aidilfitri tahun depan.