KKD cadang anjur bengkel terap nilai Islam dalam skrip filem

Fahmi sebagai panelis sesi Revealed Wisdom & Creative Media sempena World #QuranConvention di sini pada Sabtu. - Foto Sinar/Mohd Rafiq Redzuan Hamzah
Fahmi sebagai panelis sesi Revealed Wisdom & Creative Media sempena World #QuranConvention di sini pada Sabtu. - Foto Sinar/Mohd Rafiq Redzuan Hamzah
A
A
A

SEPANG - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bercadang untuk menganjurkan beberapa bengkel bagi menerapkan nilai Islam dalam pembikinan skrip filem di negara ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, menerusi inisiatif tersebut, pihak produksi dapat menyediakan kandungan video dan penulisan yang lebih mantap, profesional serta diminati masyarakat.

“Bagi saya kalau banyak kandungan kita bermula dengan penulisan dan idea yang dizahirkan, jadi masih ada peluang dan ruang untuk mengasah bakat.

“Saya juga berminat untuk tahu bagaimana untuk kita terapkan nilai Islamik dengan lebih mendalam tanpa menggunakan label Islamik.

No Image Caption

“Tetapi kandungan itu sudah sememangnya begitu,” katanya sebagai panelis sesi Revealed Wisdom & Creative Media sempena World #QuranConvention di sini pada Sabtu.

Segmen berkenaan dihoskan pengarah program, Ustaz Nouman Ali Khan dari Amerika Syarikat (AS) bersama dua lagi panelis, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Durian Animation Studio Sdn Bhd (DD), Sinan Ismail dan Pengarah Institut Pembangunan dan Penyelidikan Islam (IIDR), Sharif Hasan Al-Banna.

Dalam pada itu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli ke konvensyen tersebut anjuran Yayasan Warisan Ummah (WUIF) dan Bayyinah Institute.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

World #QuranConvention (WQC) bertemakan Revealed Wisdom & Creative Media merupakan sebuah program berasaskan al-Quran bertaraf antarabangsa buat julung kali diadakan.

Penyertaan melibatkan peserta dari Australia, Belgium, Brunei, Kanada, Jerman, Perancis, Indonesia, India, Mesir, Singapura, Filipina, Amerika Syarikat, Uzbekistan, Nigeria dan Palestin.

Antara penceramah jemputan ialah Imam Besar Masjid Istiqlal, Profesor Dr KH Nasaruddin Umar dan Pengasas Ibn ‘Ashur Centre, Dr Sohaib Hussein.