Peluang Peng Soon-Liu Ying masih ada

Peng Soon (kanan) dan Liu Ying giat memburu mata kelayakan Olimpik 2020.
Peng Soon (kanan) dan Liu Ying giat memburu mata kelayakan Olimpik 2020.
A
A
A

ADA pesanan yang mahu disampaikan bekas jaguh perseorangan badminton lelaki negara, Roslin Hashim kepada pemain beregu campuran, Chan Peng Soon dalam misinya memburu tiket Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Menurut Roslin, peluang Peng Soon dan rakan gandingannya, Goh Liu Ying beraksi pada Olimpik 2020 masih ada biarpun mereka kini berdepan situasi tidak menentu ekoran masalah kesihatan yang dihadapi Peng Soon.

Peng Soon ketika ini dalam proses pemulihan selepas dilapor menghidap penyakit bell’s palsy iaitu lumpuh pada bahagian muka ketika beraksi pada Jelajah Akhir Dunia di Guangzhou, China minggu lalu.

Sedar peluang masih ada buat beregu campuran negara itu menyambar tiket Olimpik 2020, Roslin berharap Peng Soon terus cekal menghadapi dugaan yang menimpanya ketika ini.

“Saya lihat peluang mereka layak ke Olimpik Tokyo tetap ada tetapi Peng Soon harus yakin dengan dirinya sendiri, itu yang kita mahukan. Saya harap dia tidak terlalu memikirkan situasi yang menimpanya itu sehingga menjejaskan persiapan mereka.

“Peng Soon harus kuatkan semangat dan terus fokus bagi melayakkan diri pada Sukan Olimpik tahun depan. Bagi saya, Peng Soon dan Liu Ying mempunyai peluang meraih pingat pada Sukan Olimpik nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Ketika ini, Peng Soon-Liu Ying yang meraih perak pada Olimpik 2016 di Rio menghuni tangga ketujuh dalam ranking ke Tokyo 2020 apabila merekodkan 59,550 mata.

Menurut Roslin, beregu profesional negara itu masih mempunyai masa untuk menambah koleksi mata dalam beberapa kejohanan akan datang seterusnya mara ke pentas Olimpik 2020 secara merit.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya mereka sudah cukup bersedia dari awal lagi untuk layak ke Olimpik. Saya juga yakin mereka akan layak secara merit. Jadi dengan tempoh masa yang ada, mereka harus bersedia dari segi mental dan fizikal mulai sekarang," ujarnya.