Dua lelaki ditahan hina Agong, ugut PM

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan ugutan jenayah ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lelaki berusia 34 dan 37 tahun itu ditahan secara berasingan pada Ahad dan Isnin lalu.

"Tangkapan pertama pemilik akaun Facebook 'Cik Mat Cik Po’ ditangkap di Kota Bharu, Kelantan kerana memuat naik komentar kecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

"Suspek direman selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Razarudin berkata, tangkapan kedua pula membabitkan seorang pemilik akaun TiktTok @jaiadani89 disyaki membuat hantaran berbaur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri.

"Lelaki itu ditahan di kawasan Jalan Padang Tembak, Kota Bharu, Kelantan, dia ditahan selama tiga hari bermula hari ini (Selasa) hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

"Kes masih di peringkat siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Oang ramai juga dinasihatkan agar cakna dan prihatin terhadap isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara melalui media sosial," katanya.