Kerajaan pastikan ekosistem kesihatan terbaik untuk semua - Dr Zaliha

Dr Zaliha (dua dari kanan) bertanyakan keadaan seorang pesakit di Klinik Kesihatan Air Puteh ketika beliau melakukan lawatan kerja ke klinik tersebut pada Isnin. - Foto: Bernama
Dr Zaliha (dua dari kanan) bertanyakan keadaan seorang pesakit di Klinik Kesihatan Air Puteh ketika beliau melakukan lawatan kerja ke klinik tersebut pada Isnin. - Foto: Bernama
A
A
A

CHUKAI - Kerajaan Perpaduan sentiasa komited memastikan ekosistem kesihatan di seluruh pelosok negara dalam keadaan terbaik bagi menambah baik akses kesihatan rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia termasuk di Terengganu, dengan ketika ini pelbagai fasiliti kesihatan awam telah dan sedang dinaik taraf.

"Kerajaan juga bersedia memastikan kemudahan kesihatan dipertingkat pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas melawat penduduk di Air Putih dekat sini bersama calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Sebelum itu, beliau turut mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Air Putih.

Dr Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, isu kesihatan merupakan isu yang dekat dengan rakyat, justeru beliau mengambil peluang sempena lawatannya ke kawasan itu menerangkan kepada rakyat mengenai usaha yang telah dan sedang dilakukan Kerajaan Perpaduan.

Menurut Dr Zaliha, PRK Kemaman merupakan peluang terbaik bagi pengundi di kawasan itu mengangkat seorang wakil rakyat yang sebaris dengan Kerajaan Perpaduan bagi lebih memudahkan perbincangan keperluan mereka dilakukan dan penyampaian bantuan kerajaan pusat.

"Alangkah baiknya jika calon (BN) kita menang (pada PRK Kemaman) dan lebih mudah kerja-kerja kita dalam usaha memberikan yang terbaik dari sudut perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Raja Mohamed Affandi yang berdepan dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas pada PRK itu berkata, sekiranya diberi mandat Sabtu ini, beliau akan memastikan kebajikan rakyat Kemamam akan diutamakan, termasuk aspek kesihatan.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini kita lihat bagaimana keprihatinan menteri (Dr Zaliha) sendiri datang dan melihat masalah yang kita beritahu kepada dia, Alhamdulillah. Saya yakin jika mandat diberikan kepada kita, ada ruang untuk baik pulih, membantu dan berikan terbaik kepada penduduk di sini,” katanya. - Bernama