Pelbagai peluang kerjasama boleh diterokai Malaysia, Monaco - Agong

Al-Sultan Abdullah berkenan bersama Putera Monaco, Putera Albert Il di Istana Negara pada Isnin. - Foto: Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan bersama Putera Monaco, Putera Albert Il di Istana Negara pada Isnin. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah banyak peluang kerjasama boleh diteroka antara Malaysia dan Monaco, termasuk dalam bidang berkaitan marin.

Seri Paduka Baginda bertitah sejak terjalin hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada 2009, ia terbukti dipenuhi dengan pelbagai peluang dan potensi untuk diterokai.

"Daripada usaha saintifik sehingga kepada usaha berkaitan marin, terdapat banyak peluang kerjasama dan pertumbuhan yang ingin kita teroka bersama. Perdagangan dan pelaburan juga merupakan satu lagi aspek berpotensi dan penting dalam hubungan dua hala ini,” titah Seri Paduka Baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada majlis jamuan negara sempena kunjungan Putera Monaco Putera Albert II dan delegasinya di Istana Negara di sini hari ini. Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut hadir.

Sebelum itu, Putera Albert diberi sambutan negara di Istana Negara sempena lawatan empat hari baginda ke Malaysia yang bermula semalam.

Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan Darjah Utama Seri Mahkota Negara dan Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang (kehormat) kepada Putera Monaco Putera Albert II di Istana Negara pada Isnin. - Foto: Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan Darjah Utama Seri Mahkota Negara dan Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang (kehormat) kepada Putera Monaco Putera Albert II di Istana Negara pada Isnin. - Foto: Bernama

Dengan merujuk kepada kejayaan kedua-dua negara menyaksikan pertumbuhan perdagangan yang positif pada 2022 dan untuk tiga suku pertama tahun ini, Al-Sultan Abdullah berkata momentum itu mesti dikekalkan untuk manfaat bersama kedua-dua negara.

Mengenai lawatan negara, baginda bertitah ia menjadi bukti persahabatan berkekalan yang dikongsi antara rakyat dan kedua-dua negara, dan baginda berharap Putera Albert II serta delegasinya akan selesa dengan pengalaman dan layanan yang diterima sepanjang berada di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Putera Albert atas pelantikan Datuk Seri Omar Naresh sebagai Konsul Pertama Monaco di Malaysia.

Sementara itu, Putera Albert dalam titah ucapan baginda, menzahirkan rasa terharu dengan jemputan Yang di-Pertuan Agong untuk melawat Malaysia buat kali kedua selepas 1997.

"Beta masih ingat lawatan ke Malaysia pada November 1997, ketika beta adalah putera mahkota. Sungguh luar biasa layanan dan kemurahan hati Tuanku.

"Lawatan balas Yang di-Pertuan Agong ke Monaco pada Mei lepas juga merupakan tanda persahabatan yang amat beta dan keluarga beta hargai. Ia mencerminkan komitmen kita bersama untuk mengukuhkan kerjasama antara negara dan persaudaraan antara rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Putera Albert bertitah walaupun Malaysia dan Monaco mempunyai wilayah serta sejarah yang berbeza, kedua-dua negara berkongsi nilai serta tumpuan yang sama dari segi pembangunan mampan dan perlindungan planet ini.

Sejak ketibaannya pada Ahad, Putera Albert yang diiringi oleh menteri, pegawai kanan dan delegasi perniagaan dari Monaco, telah melancarkan Pejabat Konsul Kehormat Monaco dan melawat Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur.

Baginda dijadual menghadiri Forum Ekonomi Monaco 2023 di sini petang ini.

Sebelum berangkat pulang Rabu, Putera Albert turut dijadualkan melawat Pusat Konservasi Harimau Malaya dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Pahang.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, lawatan Putera Monaco itu amat penting kerana ia akan memberi peluang terbaik kepada Monaco dan Malaysia mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara, dengan prospek kerjasama masa depan dalam pelbagai bidang, yang disokong pada peringkat tertinggi kepimpinan negara. - Bernama