Wanita dicabul ketika rawatan tradisional, dakwa ada saka

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JEMPOL - Seorang wanita mendakwa dicabul seorang pengamal perubatan tradisional ketika menerima rawatan selepas mengesyaki dirinya ada saka dalam badan dalam kejadian di sebuah rumah di Bahau pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian kira-kira jam 4.30 petang berlaku apabila wanita berusia 50 tahun itu ke rumah suspek iaitu individu yang dikenalinya di sebuah kampung tradisi di sini secara sendirian.

Menurutnya, susulan pengadu syak mempunyai sakit saka, dia yang tinggal di Selangor telah meminta lelaki berusia 65 tahun itu untuk membuat rawatan.

"Suspek kemudian telah mengarahkan pengadu untuk minum segelas air sebelum memintanya baring di atas tilam yang diletakkan di beranda rumah.

"Semasa membuat rawatan, suspek telah menjerit bertanya asal-usul sambil menekan badan pengadu dengan bantuan isteri suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Chang Hook berkata, selepas isteri suspek masuk ke dalam rumah, suspek telah mencabul pengadu dengan tangan di bahagian yang tidak sepatutnya.

"Kejadian berlaku di bahagian beranda rumah suspek dan semasa kejadian isteri serta menantu perempuan suspek berada di rumah.

"Suspek telah ditangkap dan diberi jamin polis kerana faktor kesihatan setelah siasatan selesai, manakala pengadu telah menerima rawatan di Hospital Jempol," katanya yang memaklumkan rumah ibu bapa pengadu berhampiran kediaman suspek.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek dikesan mempunyai rekod lampau pada tahun 2010 di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.