Subahan menang tanpa bertanding Presiden KHM

Subahan - Foto Bernama
Subahan - Foto Bernama
A
A
A

DATUK Seri Subahan Kamal hari ini secara rasmi mempertahankan jawatan nombor satu Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bagi penggal 2023-2027.

Pada pemilihan diadakan sempena mesyuarat agung tahunan KHM di sini, beliau mempertahankan jawatan Presiden selepas menang tanpa bertanding buat penggal ketiga berturut-turut.

Subahan kali pertama menyandang jawatan itu pada 2015, selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (ketika itu Tengku Mahkota Pahang) melepaskan jawatan berkenaan susulan komitmen sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta Exco Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) bagi benua Asia.

Dua Naib Presiden, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak (lelaki) dan Datin Mary Sadiah Zainuddin (wanita) ‘naik pangkat’ ke jawatan Timbalan Presiden selepas menang tanpa bertanding, setelah dua penyandang iaitu Jagadish Chandra Bipin Chandra tidak bertanding, manakala Profesor Datuk Dr S Shamala telah melepaskan jawatan itu pada Januari lepas.

Hanya lima jawatan Naib Presiden lelaki menyaksikan perebutan pada kali ini dalam pertandingan enam penjuru, yang dimenangi S Ganesan dan Shurizan Mansor (masing-masing 26 undi), Datuk Mohd Saiyuti Abd Samat (25), Hasnizam Hassan (23) serta Datuk Seri Anil Jeet Singh (15).

M Gobinathan terlepas jawatan itu setelah hanya mendapat enam undi, manakala dua kerusi bagi wanita menjadi milik Rogayah Mohamad dan Zaililah Md Tahir, yang menang tanpa bertanding.

Bercakap pada sidang media selepas pemilihan, Subahan berkata cabaran terbesar buatnya sejak menerajui KHM pada 2015 adalah mengharapkan prestasi konsisten daripada pasukan kebangsaan, walaupun pihaknya sudah menyediakan segala-galanya kepada mereka.

"Pemain perlu memahami bahawa ia bukan sahaja tugas kami (pengurusan), tetapi tanggungjawab mereka perlu bertenaga apabila beraksi dalam mana-mana kejohanan utama.

Artikel Berkaitan:

"Tak pernah ada masalah gaji, kami juga membayar gaji kepada jurulatih dan pemain, saya berani cakap beberapa jurulatih kita dibayar setinggi bayaran kepada jurulatih bola sepak, gaji sangat tinggi, malah pemain dibayar dengan baik oleh kami dan kelab dalam liga.

"Kami membawa pemain ke Eropah dan juga benua lain, menyediakan khidmat sains sukan dan psikologi, manakala jurulatih digaji dalam kalangan yang terbaik. Tetapi pemain gagal untuk beraksi ketika kita mengharapkan kemenangan dan inilah cabaran bagi saya.

"Kami antara pasukan terbaik dunia, pada hari-hari tertentu, kami dapat menewaskan mana-mana pasukan. Pada Piala Dunia 2023, kami hampir menumbangkan Sepanyol sebelum tewas 4-3 menerusi penentuan penalti (dalam perlawanan suku akhir), namun pada hari yang malang, kita boleh ditewaskan oleh pasukan yang lebih lemah. Konsistensi adalah sesuatu isu yang perlu kita tangani," katanya.

Beliau berkata, misi penting dalam masa terdekat adalah menjayakan penganjuran Piala Dunia Remaja lelaki di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bermula 5-16 Disember, serta kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Muscat, Oman dan Valencia, Sepanyol masing-masing bagi skuad lelaki dan wanita negara pada Januari.

Subahan berkata, pihaknya juga dalam perbincangan dengan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan antarabangsa di Malaysia, selain berusaha meningkatkan standard dan kesedaran mengenai hoki di negara ini.

Dalam pada itu, KHM menerusi kenyataan mengumumkan bahawa Subahan telah melantik beberapa pengerusi jawatankuasa yang terlibat dengan penganjuran Piala Dunia Remaja pada mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif 2023-2027 pertama sejurus selepas pemilihan tersebut bagi memastikan kejohanan itu berjalan dengan lancar.

Pengerusi Jawatankuasa yang dilantik:

Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan: Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak

Jawatankuasa Pertandingan: Datuk Seri Anil Jeet Singh

Jawatankuasa Pengadilan: Ranjit Singh Gurdial Singh

Jawatankuasa Perundangan: Jadadish Chandra Bipin Chandra

Bendahari KHM: S Selvendran

- Bernama