'Abang saya di Gaza kirim salam, ucap terima kasih'

Mohamad (tengah) ketika mengalunkan bacaan Surah Al-Insan sempena program #QuranHour For Gaza anjuran Rumah Ngaji Negeri Perak di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz pada Sabtu.
Mohamad (tengah) ketika mengalunkan bacaan Surah Al-Insan sempena program #QuranHour For Gaza anjuran Rumah Ngaji Negeri Perak di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Usaha berterusan yang dilakukan rakyat di Malaysia untuk membela masyarakat di Palestin amat dihargai oleh penduduk Gaza.

Seorang penduduk Gaza, Mohamad Wael Alzard, 22, mengakui sokongan yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada Palestin meniup semangat masyarakat di sana.

Menurutnya, rakyat Malaysia antara jutaan umat Islam di seluruh dunia yang tidak pernah jemu dan berhenti untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin.

"Saya berterima kasih kepada orang Melayu, orang Malaysia di sini kerana sampai sekarang masih sokong perjuangan Palestin, masih bersemangat bantu Palestin. Terima kasih kerana buat program dan aktiviti untuk Palestin.

"Saya nak bagitau sesuatu, apa yang orang Malaysia buat dah sampai di sana. Abang saya pesan, kirim salam untuk semua orang-orang Malaysia," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui sempena program #QuranHour For Gaza anjuran Rumah Ngaji Negeri Perak di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini pada Sabtu.

Mohamad
Mohamad

Sementara itu, Mohamad yang merupakan pelajar Tahun Dua Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) memaklumkan bapanya, Dr Wael Alzard dan adiknya, Al-Baraaq turut terkorban dalam serangan tentera zionis di Gaza.

Biarpun lebih sebulan tidak mendengar khabar berita daripada ahli keluarganya, dia begitu tenang menceritakan keadaan bapa dan adiknya yang syahid.

Artikel Berkaitan:

"Saya ada 13 adik-beradik sehingga September. Selepas September, adik saya syahid dan selepas dua minggu, ayah saya Dr Wael Alzard pula syahid. Rumah saya hancur, kaki mak patah tetapi semua saudara saya difahamkan masih hidup.

"Selama sebulan yang lalu saya tak terima apa-apa berita daripada mereka sama ada masih hidup atau syahid, minta doakan keluarga saya dan rakyat Gaza keseluruhannya," katanya.

Pada program tersebut, Mohamad mengalunkan bacaan surah Al-Insan bersama-sama kira-kira 400 peserta yang hadir pada program berkenaan.