Zii Jia kecewa tewas kepada Nishimoto

Zii Jia
Zii Jia
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mengakui kecewa selepas tewas kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto 11-21, 12-21 pada suku akhir Masters China di Shenzen pada Jumaat.

Menurut Zii Jia, beliau mengharapkan keputusan lebih baik namun dalam masa sama mengakui banyak lagi yang perlu dilakukannya untuk mengharungi kejohanan musim depan.

"Hari ini, Kenta bertahan dengan baik, banyak pukulan serangan yang saya lakukan tidak beri kelebihan kepada saya.

"Sudah tentu saya kecewa dengan kekalahan ini kerana ini adalah kejohanan terakhir saya tahun ini. Saya akui banyak yang perlu dilakukan untuk saya lebih konsisten mengharungi saingan musim depan," katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Kekalahan kepada Nishimoto adalah kali ketiga untuk Zii Jia dalam enam pertemuan membabitkan kedua-dua pemain.

Dalam pada itu, Zii Jia menegaskan dia akan bangkit untuk cuba menghasilkan keputusan positif pada Terbuka Malaysia nanti yang akan menjadi kejohanan pertama untuknya tahun depan.

"Saya akan bercuti seketika dan kembali berlatih selepas itu. Diharapkan saya dapat menghasilkan keputusan terbaik di laman sendiri (Terbuka Malaysia) nanti," katanya

Penyingkiran Zii Jia itu juga menyaksikan perjuangan wakil Malaysia di kejohanan Masters China berakhir.

Artikel Berkaitan: