Pakar bedah ortopedik bersatu kongsi kepakaran

Pakar bedah berpengalaman dan muda menyertai Bengkel Pembedahan Kadaver Ortopedik yang dianjurkan oleh Hospital Gleneagles Pulau Pinang.
Pakar bedah berpengalaman dan muda menyertai Bengkel Pembedahan Kadaver Ortopedik yang dianjurkan oleh Hospital Gleneagles Pulau Pinang.
A
A
A

SHAH ALAM - Hospital Gleneagles Pulau Pinang telah menganjurkan Bengkel Pembedahan Kadaver Ortopedik pertama di wilayah utara selama empat hari khusus untuk pakar-pakar bedah di seluruh Malaysia.

Bengkel itu diadakan bertujuan menyatukan pakar bedah ortopedik berpengalaman dan muda sekali gus menyediakan peluang untuk mempelajari dan menambahkan pengetahuan serta kemahiran dalam pembedahan serta pelbagai kepakaran pembedahan sub-sektor ortopedik yang lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Ivan Loh berkata, bengkel itu menekankan komitmen hospital itu terhadap pembelajaran berterusan dan pembangunan profesional untuk pakar kesihatan profesionalnya.

“Ia akan membantu untuk menaikkan tahap penjagaan ortopedik secara menyeluruh di dalam dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pakar Bedah Ortopedik dan Perubatan Sukan, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Col (R) Dr Vejayan Rajoo berkata, objektif bengkel itu ialah meningkatkan kemahiran pembedahan di kalangan pakar bedah baharu.

“Melalui bengkel seperti ini, mereka mampu memahami prosedur pembedahan yang rumit secara menyeluruh dan memperoleh pengetahuan tambahan dengan segera, sekali gus memperolehi pendekatan yang berharga dalam teknik terbaharu dan lebih canggih,” katanya yang juga Pengerusi Bengkel Ortopedik.

Beliau berkata, penganjuran bengkel seperti itu memainkan peranan penting untuk mengukuhkan pengetahuan masyarakat dalam ilmu perubatan, menggalakkan pembangunan profesional dan meningkatkan penjagaan kesihatan di Malaysia.

“Kerjasama dan perkongsian pengetahuan sepanjang bengkel berlangsung adalah penting untuk pembangunan dan kemajuan untuk industri penjagaan kesihatan,” katanya.

Artikel Berkaitan: