Pesawat Boeing 737-8 Malaysia Airlines mula perkhidmatan hari ini

Pengenalan pesawat kecil atau (narrow-body) itu akan meningkatkan lagi pengalaman pelanggan, selain kecekapan operasi dan bahan api. - Foto Malaysia Aviation Group (MAG)
Pengenalan pesawat kecil atau (narrow-body) itu akan meningkatkan lagi pengalaman pelanggan, selain kecekapan operasi dan bahan api. - Foto Malaysia Aviation Group (MAG)
A
A
A

[DIKEMAS KINI] BOEING 737-8 milik Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang tiba minggu lalu memulakan perjalanan domestik pertamanya ke Kota Kinabalu pada Isnin.

Pesawat generasi baharu yang menggunakan kod penerbangan Malaysia Airlines MH2640 berlepas dari Terminal 1, Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 3.40 petang Isnin.

Pengerusi Kumpulan MAG, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, pengenalan pesawat kecil atau (narrow-body) ini akan meningkatkan lagi pengalaman pelanggan, selain kecekapan operasi dan bahan api.

“Dengan pengenalan pesawat baharu ini, ia bukan sahaja menyegarkan pesawat kami yang sudah lama, namun bertindak sebagai permulaan era baharu syarikat penerbangan nasional Malaysia.

“Ia juga sejajar dengan Matlamat Rancangan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 MAG selain berusaha untuk menjadi peneraju dalam kumpulan perkhidmatan pelancongan dan penerbangan di Asia,” katanya.

Anthony Loke ketika meninjau bahagian dalam pesawat Boeing 737-8 pada Isnin.
Anthony Loke ketika meninjau bahagian dalam pesawat Boeing 737-8 pada Isnin.

Sebelum itu, syarikat induk syarikat MAB iaitu Malaysia Aviation Group (MAG) menerima penghantaran pesawat Boeing 737-8 pertamanya dalam satu majlis pelancaran yang diadakan di Hangar 5, Kompleks Kejuruteraan MAB di Sepang.

Artikel Berkaitan:

Majlis turut disaksikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Penerbangan Awam, Raja Azmi Raja Nazuddin dan Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail.

Penghantaran pesawat pertama ini adalah antara 25 pesawat melalui kontrak sewa operasinya dengan Air Lease Corporation (ALC) yang akan dihantar secara berperingkat sehingga tahun 2026.

Menurut MAG, pesawat ini akan melibatkan pelbagai destinasi domestik di Malaysia dengan rancangan masa depan untuk meluaskan destinasi ke seluruh rangkaian ASEAN dan Asia.

“Pesawat ini akan menawarkan 12 tempat duduk kelas perniagaan dan 162 tempat duduk dalam kelas ekonomi.

“Kami juga ingin meningkatkan kepuasan pengguna melalui perkhidmatan hiburan dalam penerbangan, melalui ciri hiburan dalam penerbangan tanpa wayar selain pelbagai jenis kandungan yang ditetapkan kepada penumpang, ” katanya lagi.

Anthony Loke bersama pengurusan MAG dan kru penerbangan pertama Boeing 737-8 pada Isnin.
Anthony Loke bersama pengurusan MAG dan kru penerbangan pertama Boeing 737-8 pada Isnin.

Malaysia Airlines juga akan memperkenalkan internet berkualiti tinggi di dalam penerbangan, menandakan kali pertama usaha MAG menggabungkan ciri ini ke dalam pesawat kecil, membolehkan pelanggan sentiasa boleh berhubung sepanjang perjalanan.

Seiring dengan pelan pemodenan syarikat penerbangannya, MAG juga sedang menjalani penambahbaikan pada 39 daripada 47 pesawat B737-800 NG, yang dijangka siap awal 2024.

Selain itu, mereka turut memperoleh satu pesawat A350-900 untuk menyokong keperluan syarikatnya dan akan menerima 20 pesawat Airbus 330neo, dengan penghantaran pertama dijadualkan pada September 2024.

Kini MAG kini memiliki sebanyak 102 pesawat melalui anak kesemua syarikatnya, Malaysia Airlines, Firefly, MASwings, dan MASkargo.