Bayi lelaki ditemui dalam plastik

Bayi berkenaan ditemui dalam keadaan tidak berpakaian selain masih bertali pusat serta uri - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Wan Azlan
Bayi berkenaan ditemui dalam keadaan tidak berpakaian selain masih bertali pusat serta uri - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Wan Azlan
A
A
A

SUBANG JAYA - Seorang bayi lelaki yang masih bernyawa ditemui dalam bungkusan plastik di tepi Jalan PJS 9/1 Bandar Sunway dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 1.25 petang berkaitan penemuan bayi berkenaan.

Beliau berkata, bayi malang itu ditemui orang awam yang melalui sekitar lokasi sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

"Pemeriksaan awal dijalankan mendapati bayi berkenaan ditemui dalam keadaan tidak berpakaian selain masih bertali pusat serta uri.

"Polis kemudiannya membawa bayi tersebut ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati bayi terbabit baharu dilahirkan.

"Bayi lelaki itu kini dalam keadaan stabil dan ditempatkan di Hospital Sungai Buloh untuk pemantauan rapi dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta segera menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan IPD Subang Jaya di talian 03-78627100.

"Selain itu, orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Suriyana Zakaria di talian 019-3559880," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!