Derita tahanan SOSMA

Gambar Saidin sujud syukur sebaik dibebaskan dan sampai di kampung halaman.
Gambar Saidin sujud syukur sebaik dibebaskan dan sampai di kampung halaman.
A
A
A

BALING - Seorang bekas tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) mendedahkan tahanan berdepan tekanan emosi yang sangat dahsyat hingga ada yang menceraikan isteri.

Bekas tahanan, Saidin Yaacob, 52, dari Jeneri Sik berkata, sepanjang ditahan terdapat empat tahanan menjadi gila dan tujuh lagi bercerai.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin menziarahi salah seorang isteri tahanan SOSMA, Nazihah Hamid.

Saidin berkata, sebahagian tahanan tidak dapat menerima keputusan mereka dipenjara dan terpisah jauh daripada insan tersayang.

"Hanya kekuatan diri yang mampu atasi tekanan. Motivasi diri itu juga amat penting. Kebanyakan tahanan SOSMA masih muda iaitu 40 tahun ke bawah," katanya yang mesra membahasakan diri sebagai Pak Teh ketika ditemui di rumah isteri tahanan SOSMA di Kampung Sungai Tembak, semalam.

Tambahnya, ada tahanan yang tidak mendapat sokongan ahli keluarga apabila mereka tidak diziarahi.

"Ada yang beranggapan jika sudah masuk penjara tanggunglah sendiri, tak kira lah kes apa pun, tapi sikap keluarga begitu," katanya.

SAIDIN
SAIDIN



Bagi dirinya, dipenjara selama tiga tahun dan berjauhan dengan insan tersayang dapat diatasi dengan reda kepada ALLAH.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ahli keluarga dan masyarakat juga memberikan sokongan dan motivasi daripada luar penjara.

"Pak Teh dipenjara di Tapah Perak. Bagi Pak Teh apabila kita reda dengan ujian ALLAH, kita boleh tinggal di mana sekalipun," katanya.

Berkongsi pengalamannya sendiri, Pak Teh berkata, ahli keluarganya berpindah dari rumah mereka di Jeneri selepas dia ditahan.

"Rumah itu sunyi selama tiga tahun, ahli keluarga sunyi bila Pak Teh tak ada dan jadi fobia. Isteri jadi murung. Malah, dua anak perempuan pun Pak Teh nikahkan ketika berada dalam penjara," katanya.

Katanya, ahli keluarga kembali tinggal di rumah itu setelah dia dibebaskan pada Julai tahun lalu.

Pak Teh berkata, dia dipenjara atas tuduhan awal merekrut ahli sebagai pengganas.

"Mulanya depa tangkap abang saya, kemudian cari ahli keluarga isteri dan ahli keluarga lain. Lihat keadaan itu saya terpaksa menyerah diri kepada polis.

"Tuduhan pertama tak cukup bukti kemudian saya disabitkan pula atas kesalahan depa tukar kepada Seksyen 130 G (B) iaitu Menyebar dan Menggalakkan Keganasan," katanya.

Katanya, ahli keluarganya juga membelanjakan sebanyak RM26,000 melantik peguam untuk lawan kes tersebut.

Menurutnya, dia akhirnya memutuskan untuk mengaku bersalah apabila enggan membebankan keluarga membayar kos guaman selain tidak mahu melibatkan keluarga.

"Saya juga tidak tahu mengapa dituduh sebagai rekrut pengganas. Jika nak rekrut, kita kena jadi pengganas dahulu.

"Kita tak pernah jadi pengganas dan buat kerja pasang kubah masjid tiba-tiba dituduh sedemikian rupa," katanya.

Katanya, undang-undang dibuat demi negara tetapi biarlah ia lihat pada kategori dan keadaan.

"Undang-undang itu bagus bagi ada, tetapi janganlah menzalimi orang.

"Kadang-kadang ia hanya libatkan media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan Telegram boleh didakwa sampai tujuh hingga belasan tahun.

"Ada yang orang hantar pada kita (gambar, video). Benda-benda itu bukan sampai libatkan keselamatan negara, memang tak patut," katanya.

Menurutnya, seseorang itu juga dituduh hanya kerana menderma kepada pelarian atau balu dan anak yatim di negara bergolak.

"Tetapi disalah anggap hingga kena penjara cukup lama. Jika ikut Pak Teh dah bebas, buat senyap dan cari makan macam biasa. Ya boleh buat.

"Tetapi apabila hati tak tenang teringat kawan-kawan, terpanggil juga. Walaupun tak boleh membantu dengan wang tetapi sekurang-kurang kita luahkan. Apa yang kita rasa itulah yang kawan-kawan rasa," katanya.

Dipenjara kerana simpan video perang

Sementara ayah salah seorang tahanan, Ahmad Shukri Md Zain, 55, dari Alor Setar berkata, seorang anaknya, Muhammad Ikhwan berusia 24 tahun dipenjara sejak September 2016 kerana menyimpan video perang di Syria serta dituduh berbaiah.

Katanya, sejak ditahan hingga kini, Ikhwan masih berasa sakit di bahagian belakang badan akibat dihenyak ketika soal siasat.

Beliau berkata, Ikhwan akan dibebaskan pada September 2020.

AHMAD SHUKRI
AHMAD SHUKRI

Terharu terima anugerah

Dalam pada itu, Nazihah berkata, perasaannya terharu apabila diberi anugerah 'Unsung Hero' daripada Hanipa Maidin.

"Rasa dihargai apabila terima anugerah ini. Saya tak sangka seorang timbalan menteri akan datang ziarah.

"Beliau kata kerajaan akan kaji semula SOSMA dan keputusan mansuh atau tidak hanya akan ditentu pada Sidang Parlimen selepas ini. Saya sangat harap SOSMA dimansuhkan dan suami dibebaskan," katanya.

Nazihah (kiri) menerima anugerah Unsung Hero yang disampaikan isteri kepada Hanifa.
Nazihah (kiri) menerima anugerah Unsung Hero yang disampaikan isteri kepada Hanifa.



Sinar Harian pada 5 Januari lalu melaporkan kisah Nazihah yang tabah membesarkan enam anak berusia setahun setengah hingga enam tahun hasil jualan kuih sejuk beku.