Bekas Ketua Perangkawan Malaysia meninggal dunia

Ramesh Chander
Ramesh Chander
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Perangkawan, Datuk Ramesh Chander meninggal dunia pada 14 November 2023, jam 2.50 pagi waktu tempatan ketika berusia 88 tahun.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, mendiang merupakan rakyat Malaysia pertama yang menyandang gelaran sebagai ketua di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) selepas kemerdekaan bermula 1 Januari 1966 hingga 31 Disember 1977.

“Sepanjang 11 tahun menerajui jabatan itu, mendiang berjaya membangunkan sistem perangkaan yang masih digunakan sehingga kini.

“Antara jasa mendiang ialah mempelopori penggunaan tinjauan isi rumah bersepadu untuk pengumpulan maklumat bagi menganalisis kemiskinan dan penyusunan petunjuk sosioekonomi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, mendiang juga merupakan Pesuruhjaya Banci pertama dan telah melaksanakan Banci Penduduk dan Perumahan selepas merdeka pada tahun 1970.

Ujarnya, mendiang juga turut terbabit dalam membangunkan rangka kerja untuk pemantauan sasaran dan matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Mendiang sangat aktif dalam menonjolkan peranan Jabatan Perangkaan Malaysia di rantau Asia dan juga di peringkat antarabangsa seperti Pengerusi Persidangan Ahli Perangkaan Asia; terpilih ke Suruhanjaya Perangkaan PBB; berkhidmat sebagai Naib Pengerusi dari 1972 hingga 1976 dan mewakili Malaysia di Persidangan Perangkawan Komanwel.

“Selain itu, mendiang juga merupakan ahli pengasas Institut Statistik untuk Asia dan Pasifik (SIAP) untuk melatih kakitangan statistik dari semua negara di rantau ini, berkhidmat sebagai Ahli Majlis Tadbir Institut serta Ahli Jawatankuasa Teknikal Kajian Kesuburan Dunia,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Uzir, sehingga diakhir usia, mendiang masih aktif memperjuangkan statistik dalam komuniti pencinta statistik dengan menghadiri forum, seminar dan sesi dialog antaranya Webinar ‘Counting Everyone For A Better Tomorrow’ pada 7 Julai 2020.

Dalam pada itu, Mohd Uzir mewakili seluruh kakitangan DOSM menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang dan mendoakan mereka supaya terus tabah dan bersabar dengan kehilangan tersebut.

“DOSM akan sentiasa mengingati setiap sumbangan dan bakti mendiang terutamanya khususnya memperkukuhkan sistem statistik dalam membantu negara,” katanya.