Bot, 4 kru termasuk tekong ditahan guna pukat 'tarik tepi'

Kru, tekong dan bot ditahan bersama ikan campur seberat 1,000 kg di kedudukan sembilan batu nautika barat Pulau Rebak Besar di Langkawi. - Foto Maritim
Kru, tekong dan bot ditahan bersama ikan campur seberat 1,000 kg di kedudukan sembilan batu nautika barat Pulau Rebak Besar di Langkawi. - Foto Maritim
A
A
A

LANGKAWI – Sebuah bot nelayan tempatan Kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis di kedudukan sembilan batu nautika barat Pulau Rebak Besar kerana melakukan aktiviti menunda (tarik tepi) pada awal pagi Rabu.

Pengarahnya, Romli Mustafa berkata, penahanan itu dibuat ketika bot ronda Maritim Negeri Kedah dan Perlis sedang melakukan rondaan operasi Op Aman dan Op Tiris di perairan Langkawi pada jam 1 pagi.

Menurutnya, bot pukat tunda itu ditahan bersama seorang tekong dan tiga kru kesemuanya warga Thailand lingkungan umur antara 29 hingga 56 tahun di zon larangan perikanan ketika sedang leka melakukan aktiviti berkenaan.

"Tiga daripada kru terbabit juga gagal mempamerkan pasport yang sah ketika pemeriksaan sedang dilakukan.

"Kru, tekong dan bot ditahan bersama ikan campur seberat 1,000 kilogram (kg) telah diiring masuk ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Bot telah diiring masuk ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut, Langkawi untuk siasatan lanjut. - Foto Maritim
Bot telah diiring masuk ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut, Langkawi untuk siasatan lanjut. - Foto Maritim

Romli berkata, kegiatan tarik tepi seperti ini sukar dikesan kerana mereka tidak meninggalkan jejak dan kebiasaannya aktiviti tersebut dilakukan ketika bot tersebut ingin melepasi jarak 15 batu nautika dari pantai.

Jelasnya, kes disiasat bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti memukat di zon larangan iaitu bawah 15 batu nautika dari pantai.

Artikel Berkaitan:

"Aktiviti menangkap hasil laut kurang 15 batu nautika daripada pantai boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan tersebut.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana nelayan yang melanggar syarat sah lesen," ujar beliau lagi.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera.