RM200 juta bina empat pangkalan udara bomba

Abdul Wahab (tengah) menyampaikan sijil kecemerlangan kepada penerima dalam Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2022 di Tanjung Puteri Golf Resort, Pasir Gudang pada Selasa.
Abdul Wahab (tengah) menyampaikan sijil kecemerlangan kepada penerima dalam Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2022 di Tanjung Puteri Golf Resort, Pasir Gudang pada Selasa.
A
A
A

PASIR GUDANG - Pangkalan udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan dibina di wilayah selatan, pantai timur serta Sabah dan Sarawak dengan kos sebanyak RM200 juta.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, perancangan tersebut ketika ini masih dalam proses mengenal pasti tapak.

"Pangkalan udara ini akan dilengkapi dengan pejabat pentadbiran, hangar dan helipad. Anggaran bagi membangunkan satu pangkalan udara adalah RM50 juta, jadi perancangan untuk bina empat pangkalan akan menelan kos dalam RM200 juta," katanya pada sidang akhbar selepas Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2022 di Tanjung Puteri Golf Resort, di sini pada Selasa.

Turut hadir, Pengarah JBPM Johor, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Siti Rohani Nadir.

Abdul Wahab dan Siti Rohani (tengah) merakam kenangan dalam Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2022 di Tanjung Puteri Golf Resort, Pasir Gudang pada Selasa.
Abdul Wahab dan Siti Rohani (tengah) merakam kenangan dalam Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2022 di Tanjung Puteri Golf Resort, Pasir Gudang pada Selasa.

Menurut Abdul Wahab, pembinaan pangkalan udara di wilayah selatan diberikan keutamaan dan akan dibangunkan di Senai, Johor Bahru.

"Pembinaan pangkalan udara di Johor perlu diberikan keutamaan kerana negeri itu mempunyai kawasan industri minyak dan gas yang besar di Pengerang.

"Justeru itu, kita berharap agar kerajaan negeri boleh bantu dari segi untuk mengenalpasti tapak di Senai untuk kegunaan pangkalan udara.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana Johor bukan setakat banjir sahaja, tetapi ada industri besar seperti minyak dan gas di Pengerang yang berisiko tinggi. Jadi kalau kita ada satu pangkalan, tindakan bantuan atau perkhidmatan kebakaran atau penyelamat juga adalah lebih pantas," ujar beliau.

Beliau berkata, cadangan pembinaan di pantai timur pula sama ada di Akademi Bomba Wakaf Tapai di Terengganu atau di Kuantan, Pahang.

Katanya, Pangkalan Udara Wilayah Tengah di Subang, Selangor masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2025 manakala Pangkalan Udara Wilayah Utara di Bertam, Pulau Pinang akan dirasmikan pada November ini.

Ujar beliau, pembinaan pangkalan udara adalah penting bagi memastikan kepantasan perkhidmatan JBPM terutama dalam operasi dan bantuan penyelamatan serta bantuan logistik bencana seperti banjir menggunakan unit udara.

"Ketika ini kita ada sebuah Pangkalan Udara secara sewaan di Miri, Sarawak untuk meliputi perkhidmatan bantuan di seluruh Borneo termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Labuan.

"Untuk jangka masa panjang kita juga merancang membina Pangkalan Udara di Sabah dan Sarawak," katanya.