Hazama teruja dilamar Noraniza Idris

Noraniza Idris (kanan) dan Hazama bersatu dalam lagu terbaharu, Penawar Kita.
Noraniza Idris (kanan) dan Hazama bersatu dalam lagu terbaharu, Penawar Kita.
A
A
A

BIARPUN berlainan aliran muzik tetapi ia tidak menghalang Ratu Pop Etnik negara, Noraniza Idris serta penyanyi popular, Hazama bersatu dalam lagu terbaharu, Penawar Kita.

Lagu yang dihasilkan Luca Sickta itu telah menggabungkan elemen tradisional dan moden yang sinonim dengan perwatakan nyanyian Noraniza dan Hazama.

Menurut Hazama, dia merasa sangat bertuah apabila berpeluang menjalinkan kerjasama dengan legenda Irama Malaysia itu.

"Kali pertama dapat panggilan projek ini, saya terus setuju dengan tawaran dari Kak Ani (Noraniza). Kebetulan pula saya memang peminat Kak Ani dari kecil lagi.

Hazama memberitahu, menerima tawaran kerjasama ini menerusi panggilan telefon yang pertama.
Hazama memberitahu, menerima tawaran kerjasama ini menerusi panggilan telefon yang pertama.

"Projek ini merupakan kali pertama saya rakamkan lagu yang bergenre Irama Malaysia.

"Tanpa tawaran ini, tidak mungkin berpeluang untuk merakamkan lagu yang berunsurkan Irama Malaysia kerana saya selesa membawakan genre Rock.

‘’Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang terlibat dan juga pihak Luncai Emas yang banyak membantu dalam sepanjang proses projek ini dijalankan," ujar Hazama.

Artikel Berkaitan:

Penawar Kita adalah terbitan bersama Luncai Emas Sdn Bhd dan NIPV Management Sdn Bhd, lirik ditulis oleh penerbit muzik, penyanyi dan rapper Kmy Kmo manakala Luca Sickta melengkapkan konsep muzik yang mendalam bagi memikat pendengar dengan lirik yang bermakna dan melodi yang meremajakan jiwa.

Lagu ini menggabungkan elemen muzik tradisional yang terpilih dengan hikmah pantun nasihat, mencipta perpaduan menawan antara tradisi dan moden.

Noraniza melamar Hazama untuk bekerjasama dengannya.
Noraniza melamar Hazama untuk bekerjasama dengannya.

Walaupun lirik dan lagunya oleh Kmy Kmo dan Luca Sickta, Noraniza tetap membawa pesanan mendalam melalui persembahan suara yang menggugah hati.

Lirik yang ditulis membawa pendengar dalam perjalanan yang menyentuh hati, di mana ujian dan cabaran kehidupan berfungsi sebagai pengajaran praktikal dalam memahami hakikat hubungan manusia.

"Setelah siap rangka susunan muzik, saya cadangkan agar lagu ini diduetkan dengan artis baru atau sedang aktif dan sesuai dengan vokal saya.

"Ambil masa lama juga meninjau, satu hari saya buat satu program melibatkan Hazama dan saya terus terfikir untuk calonkan Hazama sebagai rakan duet. Alhamdulillah cadangan itu disambut baik oleh pengurusan Hazama.

‘’Penerbitan single ini dipantau sepenuhnya oleh Datuk M. Nasir selaku penasihat single ini.

"Saya sangat berbesar hati dapat khidmat nasihat dari Datuk sebuah nama besar yang dihormati dalam industri muzik hingga kini," jelasnya.

Sejajar dengan evolusi muzik dalam peredaran masa kini, Noraniza dan Hazama berharap lagu duet ini diterima peminat muzik di Malaysia.

"Harapnya Penawar Kita dapat merentasi peringkat umur dan memberikan pengalaman bermakna kepada semua pendengar," tambah Noraniza.

Penawar Kita kini boleh didapati di semua platform muzik utama seperti Spotify, Apple Music, Itunes manakala muzik video akan mula ditayangkan di saluran Luncai Emas pada 10 November 2023.