Pantau program pelihara alam sekitar, habitat haiwan - Agong

Al-Sultan Abdullah berkenan mecemar duli melawat reruai pameran sempena Majlis Perasmian Eco-Schools dan GEP Roadmap 2030 di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh di sini hari ini. Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan mecemar duli melawat reruai pameran sempena Majlis Perasmian Eco-Schools dan GEP Roadmap 2030 di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh di sini hari ini. Foto Bernama
A
A
A

TEMERLOH - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar pemantauan dilakukan terhadap program melibatkan pemeliharaan alam sekitar dan habitat haiwan supaya matlamat pelaksanaannya berjaya dicapai.

Seri Paduka bertitah, pemantauan itu boleh dilakukan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, selain usaha memulihkan ekosistem alam semula jadi serta memelihara habitat haiwan perlu mendapat galakan semua termasuk pihak swasta.

"... ini amat penting kerana kadang-kadang kita tidak nampak hasil akhir sekarang, tetapi usaha itu akan dapat dirasai beberapa tahun akan datang dan bukannya sekelip mata.

"Justeru, perlu ada satu pemantauan di peringkat kerajaan Pusat dan kerajaan negeri khususnya di Pahang. Mudah-mudahan program ini tidak akan gagal, wajib berjaya... gagal bukan pilihan.

"Titah saya ini perlu diambil secara serius. Bukan hanya sekadar hadir lancar, makan dan balik. Kami mahu melihat program sebegini berjaya," titah Al-Sultan Abdullah ketika merasmikan Program Eco-Schools Malaysia dan Peta Hala Tuju Usaha Sama Penghijauan Pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 (UN GEP2030) di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh di sini, hari ini..

Turut berangkat Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana selaku Penaung Diraja Program Eco-Schools Pahang.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.

Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program Eco-Schools itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya anggap program hari ini begitu penting dalam sistem pendidikan kita yang melibatkan satu usaha kesedaran kepada anak-anak muda khususnya pelajar sekolah," titah Al-Sultan Abdullah yang berkenan mencemar duli menyantuni pelajar dan meluangkan masa melawat tapak pameran Eco-Schools Malaysia.

Program tersebut adalah program pendidikan untuk pembangunan mampan terbesar di dunia dengan jaringan 95 negara. - Bernama