19 ahli keluarga pensyarah USIM terbunuh dalam serangan Zionis

Anak saudara Wesam yang terbunuh selepas kediaman mereka dibom Israel.
Anak saudara Wesam yang terbunuh selepas kediaman mereka dibom Israel.
A
A
A

NILAI - Kekejaman berterusan rejim Zionis Israel di Gaza menyebabkan seorang pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) warga Palestin kehilangan 19 ahli keluarganya.

Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM, Dr Wesam Almahallawi berkata, dalam sekelip mata beliau hilang adik lelaki, ibu saudara, anak saudara dan sepupu termasuk seorang berusia dua tahun selepas kediaman mereka dibom Israel.

"Ibu bapa, adik lelaki dan dua adik perempuan saya terselamat dalam serangan bom tersebut, tapi sangat sukar untuk saya menghubungi mereka.

“Saya perlu menunggu berhari-hari untuk mereka membalas mesej saya kerana Israel menghentikan semua rangkaian telefon dan internet di Gaza," katanya dalam kenyataan dikeluarkan USIM pada Sabtu.

Menurutnya, kehidupan di Gaza sangat menyukarkan dan sudah empat hari beliau tidak menerima sebarang berita daripada adik perempuannya yang berada di utara Gaza.

Malah katanya, serangan bom Israel telah memusnahkan bangunan kediaman ahli keluarga dan kira-kira 200 lagi penduduk lain.

“Ibu saya berusia 65 tahun dan bapa saya berusia 68 tahun terpaksa berpindah-randah dari satu rumah ke rumah yang masih tidak dimusnahkan oleh tentera Zionis.

"Setiap malam mereka berdoa agar dapat hidup keesokan harinya kerana serangan bom boleh berlaku bila-bila masa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga dimaklumkan yang serangan bom di Gaza oleh tentera Zionis menjadi lebih kerap pada waktu malam.

Mengenangkan nasib ibu bapa dan adik-beradiknya di Gaza, beliau sangat berharap gencatan senjata dapat dilakukan segera kerana mereka di sana sedang berjuang untuk hidup.

“Penduduk Gaza hari ini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan makanan dan minuman.

"Saya ada bertanya kepada keluarga saya jika mereka memerlukan wang, namun menurut mereka segalanya telah musnah di bandar dan tiada apa yang boleh dibeli,” katanya.