Tiada lagi pelapis pembuat rebana ubi

Gambar kenangan keluarga Husin Allahyarham Mat Yaakob.
Gambar kenangan keluarga Husin Allahyarham Mat Yaakob.
A
A
A

KOTA BHARU - Tiada lagi generasi pelapis pembuat rebana ubi di Pasir Puteh selepas dua beradik yang memperjuangkan alat muzik tradisional itu meninggal dunia.

Allahyarham Mat Yaakob Awang Besar meninggal dunia 28 Februari tahun ini manakala abangnya, Allahyarham Hussin Awang Besar meninggal dunia 11 tahun lalu menjadi rujukan pembuat rebana ubi dari seluruh negara.

Menantu Allahyarham Mat Yaakob, Husin Mohamad, 69, berkata, bapa mertuanya meninggal dunia pada usia 81 tahun kerana sakit tua tetapi hujung hayatnya masih bersemangat bercerita mengenai rebana.

Menurut Husin, Allahyarham juga dikenali sebagai pakar larik rotan terbaik ketika melakukan kemasan rebana ubi.

Allahyarham Mat Yaakob merupakan pelarik rotan yang disegani.
Allahyarham Mat Yaakob merupakan pelarik rotan yang disegani.

"Sebahagian peralatan yang digunakan arwah masih ada dalam simpanan keluarga tetapi tidak digunakan kerana sudah tiada penyambung warisan itu.

Bagaimanapun kata Husin, mereka bukan sahaja menolak untuk menjualnya malah menjadi satu kenangan tidak ternilai untuk keluarga.

"Arwah sebenarnya tidak lagi aktif membuat rebana pada tahun 1980-an namun sepuluh tahun lalu dia memalu rebana hanya untuk 'pelepas angin' (kepuasan diri) bersama seorang rakan karibnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Husin yang juga pesara kerajaan sempat membantu Allahyarham mengecat rebana ubi yang ditempah pelanggan ketika bapa mertuanya itu masih aktif membuat rebana ubi.

Sijil yang diterima Allahyarham Mat Yaakob sebagai Adiguru Kraf dalam pembuatan rebana ubi
Sijil yang diterima Allahyarham Mat Yaakob sebagai Adiguru Kraf dalam pembuatan rebana ubi

SUKAR DIKALAHKAN

Tambahnya, kumpulan rebana ubi yang diterajui Mat Yaakob sangat popular pada zamannya malah dianggap 'kalah' jika mereka mendapat tempat kedua dalam pertandingan memalu rebana.

"Kumpulan mereka sukar dikalahkan tetapi momen itu tidak dirakam kerana tiada jurukamera pada masa itu," katanya.

Sementara itu, rakan baik Mat Yaakob, Mamat Awang, 85, berkata, Allahyarham merupakan individu yang dikenali malah digelar adiguru dalam pembuatan rebana berikutan mendapat pengiktirafan daripada agensi berkaitan pelancongan dan kraftangan.

Mamat menunjukkan gambar Allahyarham Mat Yaakob Awang Besar yang dikongsi melalui media sosial.
Mamat menunjukkan gambar Allahyarham Mat Yaakob Awang Besar yang dikongsi melalui media sosial.

"Saya mengenalinya sejak kecil. Dia menunjukkan kesungguhan membuat rebana dan mendapat tempahan dari seluruh negara," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Pupoh pada Selasa.

Menurut Mamat, walaupun dia tidak bersama membuat rebana ubi tetapi setiap hari tanpa gagal akan berjalan kira-kira 200 meter dari rumah ke bengkel rebana rakannya itu.

"Saya menemaninya dari pagi hingga petang dan suasana menjadi lebih meriah kerana bengkelnya dipenuhi penduduk yang berkumpul ketika arwah melakukan ujian bunyi ke atas alat muzik berkenaan," katanya.

Mamat juga memberitahu, rakannya itu dapat menyiapkan satu rebana dalam tempoh lebih dua minggu dengan menggunakan beberapa bahan utama termasuk kayu merbau dan belulang kerbau.

Husin menunjukkan peralatan membuat rebana ubi yang masih disimpan keluarga.
Husin menunjukkan peralatan membuat rebana ubi yang masih disimpan keluarga.

"Arwah tidak segan meletakkan belulang yang masih berbau di atas riba untuk dijahit atau dipaku pada kayu. Itulah komitmennya ketika bekerja.

"Dia bukan sahaja mahir membuat rebana tetapi turut hebat bermain alat muzik itu dan selalu menerima jemputan membuat persembahan termasuk pada majlis diraja dan kenduri melibatkan individu kenamaan," katanya.

Mamat turut mengakui pembuatannya sangat sukar kerana perlu melalui beberapa proses termasuk menebuk lubang pada kayu dan memasang rotan pada rebana yang besar itu.

Peralatan yang digunakan Allahyarham Mat Yaakob dalam pembuatan rebana ubi.
Peralatan yang digunakan Allahyarham Mat Yaakob dalam pembuatan rebana ubi.

Bapa kepada lima anak itu berharap ada pelapis yang akan meneruskan pembuatan rebana ubi di kampung berkenaan selain tiada golongan muda yang berminat.