Mangsa banjir di Perak meningkat, satu lagi PPS dibuka

Penduduk, Shaarani Zakaria, 56, menaiki sampan di hadapan rumahnya pada tinjauan di Batu 9, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan.- Foto: Bernama
Penduduk, Shaarani Zakaria, 56, menaiki sampan di hadapan rumahnya pada tinjauan di Batu 9, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan.- Foto: Bernama
A
A
A

IPOH - Keadaan banjir di Perak bertambah buruk apabila satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Hilir Perak menjadikan kesemua empat PPS di daerah itu dan Kerian bagi menempatkan 373 mangsa daripada 107 keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan, PPS tersebut ialah di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di Langkap yang menempatkan 41 mangsa dari 11 keluarga.

"Jumlah keluarga dan mangsa di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak pula kekal dengan 185 daripada 55 keluarga manakala di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak di Kerian turut kekal dengan 90 mangsa daripada 22 keluarga.

"Mangsa banjir di PPS SK Alor Pongsu turut kekal dengan 57 mangsa daripada 19 keluarga dan malam ini terdapat penambahan 10 mangsa banjir daripada dua keluarga di PPS Dewan MPTI," menurut kenyataan itu.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras air Sungai Bidor di Changkat Jong masih mencatatkan paras bahaya 4.02 meter (m) berbanding dua meter paras normal.

"JPS turut melaporkan paras air Sungai Raia di Keramat Pulai turut berlaku kenaikan menghampiri aras amaran apabila merekodkan bacaan 44.81m daripada paras normal 43m.

"Selain itu Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang turut berada pada paras berjaga-jaga iaitu 13.10m, melebihi paras normal sungai tersebut pada 10m," menurut kenyataan itu lagi.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak turut memaklumkan Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama masih ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, F 193 Jalan Proton City di daerah Mualim juga terhalang laluan di kedua-dua arah dan ditutup kepada kenderaan akibat tanah runtuh, manakala di Kerian laluan FT 147 Jalan Selama hanya dibuka kepada kenderaan berat dan orang ramai diarahkan menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah. - Bernama