Mara pandang serius dakwaan pelajar MRSM dihidang makanan rosak

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

JELEBU - Majlis Amanah Rakyat (Mara) memandang serius kejadian tular kes kebersihan penyediaan makanan yang melibatkan dewan selera di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang di sini yang didakwa menyebabkan keracunan makanan ke atas beberapa pelajar.

Mara dalam kenyataannya berkata, tindakan segera telah diambil oleh pihak pengurusan dengan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk menjalankan siasatan segera ke atas dewan selera tersebut.

"Pemeriksaan rapi oleh PKD telah dijalankan dan prestasi kebersihan persekitaran adalah baik serta proses pengendalian makanan adalah mematuhi standard yang ditetapkan.

"Lanjutan daripada pemerhatian tersebut, PKD dan pihak pengurusan MRSM telah memberi beberapa teguran ke atas pengusaha dewan selera sekolah terbabit," katanya.

Menurutnya, pemantauan ke atas pelajar juga telah dilaksanakan dan setakat ini tiada yang mengalami gejala keracunan makanan seperti yang didakwa.

Tambahnya, Mara sentiasa memberikan keutamaan dalam memastikan perkhidmatan yang dibekalkan oleh pembekal makanan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam penyediaan makanan yang dimasak untuk para pelajar.

"Sehubungan itu, ibu bapa tidak perlu bimbang dan sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan MRSM berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Mara sentiasa prihatin dengan kebajikan dan keselamatan seluruh pelajar di Institusi Pendidikan Mara (IPMA) termasuk MRSM dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perkara seumpama ini berlaku mengikut prosedur yang telah ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini tular di media sosial berkenaan dakwaan pelajar sebuah terbabit dihidangkan dengan telur busuk sehingga menyebabkan ramai dalam kalangan mereka mengalami sakit perut dan cirit-birit.

Perkara itu dikongsi oleh seorang pengguna Facebook yang turut menyertakan gambar telur busuk yang dihidangkan di dewan selera asrama berkenaan.

Malah katanya, ia bukan kejadian pertama pihak itu menghidangkan makanan 'rosak'.