PGRS lebarkan sayap ke Labuan

Mohd Ariffin
Mohd Ariffin
A
A
A

LABUAN - Parti politik berpangkalan di Sabah, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) melebarkan sayap ke Labuan dengan 21 cawangan dan lebih 2,000 anggota.

PGRS yang diterajui Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, meletakkan adik kepada bekas Ahli Parlimen Labuan, Mulok Awang Damit iaitu Rosli Awang Damit untuk mengetuai bahagian Labuan.

Naib Presiden I PGRS, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif berkata, parti itu bekerjasama erat dengan parti komponennya iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam usaha meraih penerimaan meluas masyarakat pelbagai kaum di pulau ini.

"Kami mahu PGRS Labuan diterima oleh rakyat berbilang kaum di pulau ini dengan kerjasama daripada PBS di sini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan PGRS bahagian Labuan pertama di sebuah hotel dekat sini pada Selasa.

Beliau optimis PGRS mempunyai kekuatan akar umbi dan percaya parti itu mampu memenangi hati rakyat di Labuan.

Mohd Ariffin turut menekankan kepentingan untuk terus mengembangkan keanggotaan parti itu menerusi pelbagai platform.

"Parti ini berhasrat untuk menunjukkan komitmennya kepada rakyat dan mendapatkan kepercayaan mereka, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di Labuan.

"Perluasan PGRS ke Labuan merupakan langkah ke hadapan yang signifikan bagi parti dan pemimpinnya optimis dengan prospek di Wilayah Persekutuan ini," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: