Keputusan lepas tanpa bebas Inspektor Sheila diketepikan

Inspektor Sheila - Foto Bernama
Inspektor Sheila - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret Selayang yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) pegawai polis, Inspektor Sheila daripada satu tuduhan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis.

Hakim, Datuk Norsharidah Awang memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Inspektor Sheila atau nama sebenarnya S Sheila Sharon, 35, kerana satu pertuduhan itu tidak dibacakan ketika pendakwaan kes, pada 26 Jun lalu.

Difahamkan, tuduhan itu tidak dibacakan kerana berlaku masalah teknikal ketika kes didaftarkan di Mahkamah Majistret tersebut.

Bagaimanapun, tertuduh yang tular di media sosial selepas mencetuskan kekecohan di parkir sebuah pusat beli-belah, masih berdepan tiga lagi tuduhan kes jenayah.

Tiga kes itu masih kekal dan tarikh perbicaraan telah ditetapkan di Mahkamah Majistret Selayang pada 5 hingga 7 Februari tahun depan.

Pada 26 Jun lalu, Sheila didakwa mengugut seorang wanita berusia 69 tahun dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa menghina kesopanan seorang lelaki berusia 41 tahun dengan berkata; ‘You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu’ mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Di hadapan Majistret Nor Hafizah Rajuni pula, Sheila mengaku tidak bersalah menyebut pangkat lans koperal dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud mengaibkan kehormatannya, juga mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: