Gadis koma 'dikasari' polis moral meninggal dunia

Gadis itu tidak sedarkan diri selepas 'terjatuh' ketika insiden di salah sebuah stesen kereta api bawah tanah di Teheran. - Foto Agensi
Gadis itu tidak sedarkan diri selepas 'terjatuh' ketika insiden di salah sebuah stesen kereta api bawah tanah di Teheran. - Foto Agensi
A
A
A

TEHERAN - Remaja Iran yang berada dalam keadaan koma kerana didakwa telah dikasari polis moral meninggal dunia pada Sabtu.

Agensi berita Borna yang bergabung dengan Kementerian Belia mengesahkan Armita Garawand, 16, menghembuskan nafas terakhir, kira-kira sejam selepas mendapatkan rawatan di unit rawatan intensif setelah berada di hospital selama 28 hari.

Gadis itu tidak sedarkan diri selepas 'terjatuh' ketika insiden di salah sebuah stesen kereta api bawah tanah di Teheran.

Kes melibatkan Armita pertama kali dilaporkan oleh kumpulan hak asasi manusia, Hengaw pada 3 Oktober lalu yang mendedahkan mangsa dipukul anggota polis moral.

Pihak berkuasa mendakwa remaja itu jatuh pengsan kerana tekanan darah menurun secara tiba-tiba dan tiada kaitan dengan tindakan kekasaran terhadapnya.

Sementara itu, agensi berita Tasnim memetik kenyataan doktor di pusat rawatan itu melaporkan remaja tersebut mengalami kerosakan otak dan sawan berterusan akibat penurunan tekanan darah secara mengejut.

Kejadian menggemparkan itu berlaku kira-kira setahun selepas kematian Mahsa Amini yang juga didakwa telah dikasari polis moral kerana melanggar kod pakaian wanita yang turut mendapat perhatian komuniti antarabangsa. - AFP

Artikel Berkaitan: