Mek Mulung@Wang Tepus 'Warisan Akar Umbi'

A
A
A
Sebahagian peserta-peserta cilik yang memperagakan busana 'Mek Mulung' pada Festival Merakyatkan Seni Budaya: Mek Mulung@Wang Tepus 'Warisan Akar Umbi' yang diadakan di Dataran Kampung Keda Wang Tepus dekat sini.

Seramai 35 orang kanak-kanak memperagakan busana Mek Mulung pada pertandingan Puteri Cilik Mek Mulung'.

Pelbagai pengisian menarik diadakan sempena penganjuran festival berkenaan antaranya bengkel Mek Mulung, peraduan mewarna watak Mek Mulung, pertandingan Puteri Cilik Mek Mulung, pertandingan futsal pelikat, persembahan teater tradisional Mek Mulung, persembahan senam seni dan zumba aerodance dengan tema' Orang Kampung'.

Program tersebut merupakan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Persatuan Penggerak Warisan Budaya dan berlangsung selama tiga hari iaitu dari 26 hingga 28 Oktober 2023.

Mek Mulung ialah salah satu daripada teater tradisional masyarakat Melayu yang sangat popular di negeri Kedah Darul Aman. Ia telah menjadi hiburan rakyat di negeri tersebut sejak zaman dahulu lagi.
Artikel Berkaitan:


Mek Mulung dikatakan berasal dari Kerajaan Melayu Ligor, Siam dan diperkenalkan di negeri Kedah ketika berlakunya persengketaan di antara Kedah dan Siam. Tempat ia mula-mula sekali diperkenalkan ialah di Kampung Perit, Mukim Kurung Itam, Jajahan Kuala Nerang. Seterusnya ia berkembang ke Kampung Belukar Mulung, Kampung Paya Keladi dan akhirnya di Kampung Wang Tepus, Jitra, Kedah.

Mek Mulung merupakan satu adunan kesenian yang menggabungkan unsur-unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik dalam suatu persembahan. Meskipun seimbas lalu persembahannya kelihatan begitu mudah, tetapi ia tetap mempunyai keunikan yang tinggi nilainya. Menurut satu laporan seorang pengamal kesenian Mek Mulung yang boleh dikatakan waris terakhir, terdapat himpunan sebanyak dua puluh cerita hikayat asal, namun sedikit sahaja yang dikatakan masih kekal.