UMK bantu biaya Nur Ainil Nadhirah

Nur Ainil Nadhirah
Nur Ainil Nadhirah
A
A
A

JELI - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengambil inisiatif membiayai yuran pendaftaran kemasukan pelajar, Nur Ainil Nadhirah Murazmi, 20, bagi sesi pengajian 2023/2024 berikutan kekangan kewangan keluarganya.

Nur Ainil Nadhirah sebelum ini menerima surat tawaran melanjutkan pengajian ke UMK dalam program Ijazah Sains Gunaan (Teknologi Pembangunan Produk), Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) pada 23 September lalu.

Bagaimanapun, dia terpaksa menangguhkan kemasukan berikutan tidak mampu menyediakan wang pendaftaran.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dr Mohammad Ismail berkata, keprihatinan UMK melalui Seksyen Tatatertib dan Kebajikan Pelajar, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) serta Pusat Islam UMK membolehkan Nur Ainil Nadhirah diterima masuk melanjutkan pengajian ke universiti itu.

Nur Ainil Nadhirah (tengah) melanjutkan pengajian ke UMK dalam program Ijazah Sains Gunaan (Teknologi Pembangunan Produk).
Nur Ainil Nadhirah (tengah) melanjutkan pengajian ke UMK dalam program Ijazah Sains Gunaan (Teknologi Pembangunan Produk).

"UMK sentiasa prihatin dengan masalah kewangan pelajar dalam kalangan asnaf dan B40 serta sedia membayar yuran kemasukan mereka.

“Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, wakil Pusat Islam dan Dekan FIAT bersedia menyegerakan proses pendaftaran Nur Ainil Nadhirah supaya dapat mendaftar di UMK," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Mohammad memberitahu, antara bantuan yang disediakan untuk pelajar baharu daripada golongan miskin ialah bantuan pembiayaan yuran pengajian (melalui zakat Pusat Islam UMK), kemudahan komputer riba, menu Madani, makanan kering dan penginapan.

Artikel Berkaitan:

Justeru beliau berkata, pelajar yang sudah menerima surat tawaran kemasukan tetapi tidak mampu menyediakan yuran pendahuluan diminta melaporkan diri terlebih dahulu mengikut surat tawaran.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, UMK melaksanakan program Sulung 2.0 iaitu bantuan pembiayaan pendidikan kepada pelajar anak sulung yang melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi daripada keluarga B40.

"Program ini merupakan usaha membiayai pendidikan mereka sehingga tamat pengajian," katanya.

Tambah beliau, pengurusan UMK juga menetapkan kadar yuran pendaftaran tidak melebihi RM1,500 seperti saranan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Saya berharap Nur Ainil Nadhirah dapat mengubah taraf hidup mereka dan keluar daripada kepompong B40 selepas menamatkan pengajian nanti,” katanya.

Sementara itu, ibu pelajar itu, Noriza Mohamed Yaacob, 46, yang bekerja sebagai pekerja am di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kuala Krai bersyukur apabila pusat pengajian itu menjelaskan yuran pendaftaran termasuk menyediakan tempat penginapan untuk anaknya.

"Kami tidak mampu menyediakan wang yuran kerana ada anak-anak yang masih bersekolah dan tiada sumber pendapatan lain," katanya.