Onn Hafiz seru rakyat terus bangkit, nyata solidariti kepada Palestin

Onn Hafiz ketika mendengar luahan perkongsian pelajar Palestin yang menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini. Foto Facebook Onn Hafiz
Onn Hafiz ketika mendengar luahan perkongsian pelajar Palestin yang menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini. Foto Facebook Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru agar penduduk di negeri itu terus bangkit dan menyatakan solidariti mereka kepada rakyat Palestin.

Beliau juga mahu rakyat sama-sama berdoa kepada ALLAH SWT agar segala kekejaman dan penindasan berkenaan dihentikan segera.

Onn Hafiz berkata, genjatan senjata perlu dilakukan segera dan keperluan makanan dan perubatan harus dihantar bagi menyelamatkan mereka.

"Ayuh, seluruh Bangsa Johor! Bangkit dan terus menyatakan solidariti kita kepada rakyat Palestin. Teruskan bersuara dan mendesak pemimpin-pemimpin seluruh dunia untuk menoktahkan penderitaan ini," kata beliau dalam hantaran menerusi Facebook semalam.

Beliau berkata, hancur hatinya apabila mendengar luahan perkongsian pelajar Palestin yang menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, dalam satu pertemuan dengan mereka baru-baru ini.

"Pelajar-pelajar ini menyatakan kebimbangan akan nasib keluarga mereka di sana, namun mereka semua teguh dan yakin bahawa Palestin pasti akan keluar daripada kemelut peperangan, penindasan dan pencerobohan yang sudah sekian lama menjerut rakyat mereka,” katanya.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel sejak 7 Okt telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa. - Bernama

Artikel Berkaitan: